headlines

» » Ugutan rogol tidak diendahkan oleh polis dan kami ada buktinya


Suara Rakyat Malaysia (Suaram) mengutuk tindakan pihak polis yang tidak mengambil sebarang tindakan terhadap pegawainya yang melakukan ugutan hendak merogol semasa dalam tahanan terhadap Maisara Amira Mohamad Asmadi, salah seorang peserta Bantah GST.

Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Tajuddin Mohd Isa menyatakan bahawa anggota polis tersebut masih bertugas di balai polis yang sama. Beliau juga menyatakan bahawa, anggota tersebut tidak akan dipindahkan kerana tidak perlu berbuat demikian.

Maisara ditahan pada 1 Mei 2015 dan direman selama 4 hari di Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi. Semasa soal siasat dilakukan pada 5 Mei 2015 beliau diugut untuk dirogol oleh pegawai polis yang tidak berpakaian seragam. Insiden ini berlaku antara jam 11.30 pagi sehingga 1.30 petang.

Suaram melihat ini adalah sesuatu perkara yang serius apabila seorang pegawai polis yang bertanggungjawab menjaga keselamatan awam melakukan ugutan jenayah terhadap orang awam. Bahkan difahamkan oleh peguam mangsa bahawa mangsa mengalami masalah trauma.

Polis yang gagal menyiasat dan ambil tindakan terhadap pegawai polis yang mengugut ini, menunjukkan ketidakwibawaan PDRM dan sekali gus melanggar hak asasi manusia pengadu.

Malah, ia juga melanggar prosedur operasi standard (SOP) PDRM. Keadaan ini juga menunjukkan bahawa ini adalah satu diskriminasi terhadap seorang wanita, selain tindakan jenayah oleh pegawai polis berkenaan di bawah Kanun Keseksaan Akta 503 kerana kesalahan menakutkan secara jenayah.

Suaram mengambil pendirian bahawa perkara seperti ini adalah merupakan satu salah guna kuasa pihak polis di mana sebagai seorang tahanan Maisara berhak untuk berdiam diri dan menjawab di mahkamah.

Mengikut Kanun Prosedur Jenayah Seksyen 112 (2) saksi itu boleh menolak daripada menjawab jika jawapan itu akan menyebabkan ia dibabitkan pada sesuatu tuduhan jenayah atau penalti atau perlucuthakan.

Salah guna kuasa polis ini bukan sekali terjadi tetapi sudah banyak kali. Dalam kes demonstrasi anti salib di Taman Medan pada 19 April 2015 yang lepas pihak polis bersikap “double standard” semasa pengendalian kes.

Ini disebabkan oleh layanan yang diberikan kepada mereka seperti mendapat keistimewaan berbanding pihak yang lain sebagai contoh penganjur demonstrasi aman Kita Lawan pada 28 Mac 2015.

Mereka ini telah ditahan dan direman selama beberapa hari berbanding penganjur demonstrasi anti salib yang hanya dipanggil untuk tidak sampai 4 jam sekalipun. Bukan bermakna Suaram meminta agar penganjur anti salib ditahan dan direman tetapi hendak menunjukkan bagaimana layanan yang diberikan oleh pihak polis berbeza sedangkan kedua-dua penganjur sepatutnya dilindungi oleh Perlembagaan Persekutuan (Perkara 10) yang sama berkaitan kebebasan berhimpun.

Kes seperti ini membuktikan lagi betapa pihak polis seperti berada di atas undang-undang apabila mereka boleh melakukan mengikut kehendak mereka tanpa perlu mengikuti prosedur dan undang-undang yang telah ditetapkan secara konsisten.

Suaram menggesa agar pihak kerajaan melihat semula cadangan penubuhan Suruhanjaya Bebas Aduan dan Salah Laku Polis (IPCMC) oleh suruhanjaya diraja yang dipengerusikan oleh bekas Ketua Hakim Negara Tun Mohamed Dzaiddin Abdullah pada tahun 2005.

Ini adalah penting untuk menangani dan mengadili kes salah laku polis dengan lebih adil dan telus tanpa campur tangan pihak berkepentingan.

Pada masa yang sama, pihak polis juga perlu memandang serius terhadap ugutan rogol yang dilakukan oleh anggotanya terhadap Maisara dan tidak melepaskan begitu sahaja tanpa sebarang tindakan disiplin mahupun undang-undang. Tindakan ini penting sebagai mesej bahawa pihak polis serius dalam menangani masalah salah laku polis.



About Izikit

«
Next
'Pecat lembaga pengarah 1MDB tidak berikan jawapan berkaitan skandal 1MDB'
»
Previous
'Kami sokong saranan Muhyiddin Yassin untuk pecat lembaga pengarah 1MDB'

No comments:

Leave a Reply

Komen apa saja , cuma anda bertangggungjawab sepenuhnya atas komen anda sendiri .