Memecat ahli lembaga pengarah syarikat sarat hutang 1Malaysia Development Berhad (1MDB) tidak akan memberikan jawapan terhadap isu yang membabitkan syarikat pelaburan strategik Kementerian Kewangan itu, kata seorang menteri Umno.
Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan Datuk Abdul Rahman Dahlan berkata, sekiranya saranan yang diutarakan Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin itu dilaksanakan, belum tentu kebenaran sebenar akan dapat diperolehi.
"Saya tidak pasti jika keputusan itu akan membantu mempercepatkan usaha untuk perolehi kebenaran yang sebenar," kata Rahman, yang juga ahli Parlimen Kota Belud, dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau berkata, menjadi kelaziman, perkara pertama yang dilakukan apabila ketua pegawai eksekutif (CEO) dan ahli-ahli Lembaga Pengarah baru masuk, mereka akan meminta lebih masa untuk memahami isu-isu di bawah kendalian mereka.
"Bagaimanakah cara bagi mereka untuk menjawab sebarang soalan jika tidak tahu hujung pangkal sesuatu isu?" soal ahli Majlis Tertinggi Umno itu lagi.
"Mereka mungkin meminta beberapa bulan untuk meneliti semua butiran dan dokumen-dokumen sebelum mereka boleh memahami apa yang berlaku dan seterusnya memberi keterangan dalam siasatan berterusan yang dikendalikan oleh Ketua Audit Negara dan PAC," katanya merujuk kepada Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara.
Proses berkenaan katanya memakan masa dan bakal dilihat lambat lagi merugikan, walaupun umum tahu orang ramai ingin jawapan yang cepat bagi isu 1MDB.
"Pada pendapat saya, dengan memecat Ketua Pegawai Eksekutif dan Ahli Lembaga Pengarah boleh dijadikan pilihan jika Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengerusi Lembaga Pengarah 1MDB enggan memberikan keterangan.
"Namun secara terbuka, mereka mengatakan mereka akan bekerjasama dan akan tampil memberi keterangan kepada Ketua Audit Negara dan membantu siasatan PAC," katanya.
Beliau turut berkata, CEO kini hanya dilantik beberapa bulan yang lalu.
"Beliau tidak terlibat dalam kontroversi 1MDB yang sering diperkatakan, dan ia terjadi sebelum beliau menyertai organisasi 1MDB.
"Saya tidak tahu bagaimana pemecatannya boleh menyumbang dalam usaha untuk mencari kebenaran," katanya.
Meskipun bersetuju dengan pendapat Muhyiddin, Rahman berkata, beliau tidak yakin dengan memecat anggota lembaga pengarah 1MDB kebenaran akan diperolehi.
"Saya bersetuju dengan pendapat timbalan perdana menteri, dengan penyingkiran serta-merta ketua pegawai eksekutif dan ahli Lembaga pengarah dapat meredakan kebimbangan orang ramai mengenai isu ini, namun saya tidak pasti jika keputusan itu akan membantu mempercepatkan usaha untuk perolehi kebenaran yang sebenar," katanya.
Rahman berkata, beliau menyedari berhubung isu itu apabila menerima pautan Internet yang dikongsi oleh sabahat saya di WhatsApp, yang menunjukkan klip video 7 minit Muhyiddin, sewaktu beliau memberi ucapan sempena sesi latihan pemimpin Umno bahagian baru-baru ini.
Klip video diterimanya di ruangan WhatsApp itu juga disertakan bersama satu komen yang mendakwa Muhyiddin bertelagah pendapat dengan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak mengenai isu 1MDB.
"Dari situ barulah saya sedar akan segala kekecohan yang timbul!" katanya, dan menambah, video itu ditontonnya sebanyak 5 kali bagi menentukan sekiranya ada sebarang kebenaran terhadap dakwaan tersebut.
Beliau bagaimanapun berkata, kedua-dua pemimpin tertinggi negara itu mempunyai kebimbangan sama, iaitu mereka khuatir 1MDB menjadi satu kerisauan rakyat dan jika tidak diselesaikan dalam jangka masa terdekat, ia akan memberi kesan kepada kerajaan dan masa depan parti.
"Jika kita ikuti kenyataan umum yang dibuat oleh perdana menteri sebelum ini, beliau juga merakamkan ulasan yang sama.
"Timbalan perdana menteri berkata dalam klip video tersebut 1MDB memerlukan penyiasatan segera, kerajaan tidak boleh menunggu lebih lama lagi, beliau bercakap mengenai perlunya 'to hold the bull by its horns' dan saya rasa begitu juga dengan perdana menteri," katanya.
"Sebab itulah, kita mendengar perdana menteri mengumumkan siasatan segera dilakukan oleh Ketua Audit Negara dan Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) Parlimen Malaysia dan penyiasatan yang mestilah dilengkapkan dalam masa beberapa bulan."
Bagaimanapun, perbezaan dalam kenyataan kedua-dua pemimpin itu katanya adalah Muhyiddin mahukan anggota lembaga pengarah 1MDB dipecat, manakala perdana menteri mengambil kedudukan tindakan terhadap mana-mana individu hanya akan diambil selepas siasatan menyeluruh oleh Ketua Audit Negara dan PAC selesai.
"Untuk berlaku adil kepada timbalan perdana menteri, beliau ada menyebut dalam klip video bukan niat beliau untuk menunjukkan kebencian terhadap perdana menteri atau untuk menunjukkan mereka bersehaluan.
"Malah dalam klip video itu, Muhyiddin ada mengatakan beliau menghormati Najib.
"Kesimpulannya, saya menelefon kembali kawan saya itu dan bertanya kepadanya, apakah kekecohan yang timbul?" katanya.
sumber
No comments: