Seorang pelabur tidak begitu mengambil berat tentang potensi turun naik ringgit kerana menjangka tampuk kepimpinan negara untuk 'lebih kurang status quo'.
Bercakap kepada CNBC, Tan Min Lan berkata: "Wujud banyak isu yang melingkari, tetapi pihak pembangkang berada dalam keadaan kucar-kacir, justeru, tidak ada alternatif. Oleh itu, pertukaran kerajaan di Malaysia adalah tidak berkemungkinan."
Tan yang mengetuai pejabat pelaburan Asia Pasifik bagi pengurusan kekayaan UBS berkata demikian sebagai tindak balas ke atas para pengatur strategi National Australia Bank (NAB).
Menurut NAB, kegawatan politik tidak akan menjurus kepada berita baik untuk matawang tempatan.
"Krisis politik terus menggelegak dan mungkin menjejaskan keyakinan pelabur dengan spekulasi mengenai pilihan raya yang terus berkumandang," ujarnya.
NAB membuat unjuran dalam nota bertajuk 'Malaysia, truly awkward' yang menyindir slogan pengiklanan pelancongan negara yang berbunyi 'Malaysia, truly Asia'.
Dengan ringgit yang secara berterusan menjunam berbanding dolar AS, Tan kekal positif dengan keadaan itu.
"Kedudukan akaun semasa adalah sangat selesa. Baki fiskal diuruskan dengan baik. Dasar kewangan, di samping, Bank Negara terus mempunyai hubungan yang sangat baik dengan pelabur antarabangsa," jelasnya kepada CNBC.
Sambil melahirkan keprihatinan terhadap pemilikan asing yang tinggi dalam bon domestik Malaysia - hampir 40 peratus mengikut ukuran tertentu - beliau bagaimanapun berkata, Malaysia masih diberikan penarafan yang baik oleh tiga agensi penarafan kredit utama iaitu Fitch, S&P dan Moody.
No comments: