» » » Mangsa dipindahkan meningkat di Selangor dan Kedah akibat air pasang besar


Jumlah penduduk yang dipindahkan ekoran fenomena air pasang besar di Selangor, meningkat kepada 482 orang pagi ini berbanding 459 orang malam tadi.

Menurut jurucakap Bilik Gerakan Bencana Selangor, peningkatan itu membabitkan penduduk Kampung Batu 5, Kapar, Klang, yang sebahagian besarnya ditempatkan di Dewan Serbaguna Datuk Ahmad Razali.

Katanya, sehingga 9 pagi ini jumlah mangsa yang berada di pusat itu adalah sebanyak 152 orang berbanding 133 malam tadi.

Selain Dewan Serbaguna Datuk Ahmad Razali di Kapar, terdapat empat lagi pusat pemindahan dibuka di negeri ini ekoran fenomena tersebut iaitu Dewan Serbaguna Kampung Tok Muda juga di Kapar yang menempatkan 236 orang, Dewan Seri Sekinchan (dua orang), Dewan Sungai Air Tawar (63 orang) dan Dewan Parit Baru (29 orang) di Sabak Bernam.

Sementara itu, Setiausaha Jawatankuasa Bencana Negeri Selangor Ahmad Afandi Mohamad, dalam kenyataan berkata ban Sungai Keramat yang pecah di Kampung Batu 5 akibat air pasang besar awal pagi tadi akan dibaiki serta merta dan kawasan itu kini dalam pemantauan agensi keselamatan.

Di daerah Sabak Bernam pula, Ahmad Afandi berkata kawasan seperti Sungai Lang, Pantai Batu 23 dan Kampung Nelayan Bagan Nakhoda Omar turut dinaiki air akibat fenomena itu, namun keadaannya terkawal dan air mulai surut.

"Terdapat juga limpahan air laut di pesisiran Pantai Kelanang, Kuala Langat namun keadaan masih selamat," katanya.

Di PERAK, kawasan yang terjejas ekoran fenomena sama kekal lima iaitu Bagan Ikan, Bagan Sungai Burung, Bagan Sungai Tiang, Bagan Lipas dan Bagan Pasir Laut.

Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan dan Bantuan Bencana Daerah Bagan Datoh Datuk Hamzah Hussin berkata limpahan air pasang di kawasan berkenaan berlaku kira-kira 5 pagi sebelum surut sejam kemudian.

Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan dan Bantuan Bencana Daerah Hilir Perak Zulhisham Ahmad Shukori memaklumkan lima kawasan di Teluk Intan dinaiki air awal pagi tadi iaitu Kampung Batu 7 1/2 Jalan Maharajalela, Kampung Seri Jaya Batu 6, Lorong Kalat Batak Rabit, Jeti Pak Ali Sungai Jelawat dan Kampung Esso.

Katanya air mula memasuki kawasan dan halaman rumah penduduk sekitar 4 pagi, namun tiada pemindahan dilakukan kerana air surut sepenuhnya pada 7.30 pagi.

Di Kampung Bagan Panchor, Pantai Remis, keadaan di kawasan itu dalam keadaan terkawal biarpun air pasang mula naik secara berperingkat mulai pukul 2.30 pagi.

Jurutera Daerah Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Manjung, M Sasitharan berkata paras air di kawasan berkenaan mencatatkan 3.3 meter dari paras laut setakat 5.45 pagi.

"Bagaimanapun, air mula surut pada pukul 6 pagi. Cuaca juga dalam keadaan baik dan tiada banjir berlaku di kawasan ini," katanya.

Di KEDAH, mangsa banjir akibat fenomena air pasang besar di enam buah kampung di Kota Kuala Muda yang dipindahkan ke empat pusat pemindahan meningkat kepada 94 orang daripada 27 keluarga berbanding 85 orang semalam.

Pegawai Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah Kuala Muda, Lt Muda Pertahanan Awam, Azahar Ahmad berkata pertambahan bilangan mangsa yang dipindahkan bagaimanapun hanya melibatkan penduduk kawasan Kampung Sungai Meriam.

"Sehingga pukul 4.00 pagi tadi, seramai 21 mangsa daripada enam keluarga telah dipindahkan berbanding hanya 12 mangsa daripada tiga keluarga, sewaktu pusat pemindahan di rumah pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Sungai Meriam dibuka pada pukul 1.30 pagi semalam.

"Bilangan mangsa di tiga lagi pusat pemindahan iaitu Sekolah Kebangsaan (SK) Seri Kuala, Dewan Kampung Paya dan Dewan Masjid Haji Yusof Bukit Kecil kekal seperti sebelum ini," katanya.

Katanya seramai 29 mangsa daripada 12 keluarga dari Kampung Masjid, Kampung Ujung Matang dan Kampung Padang Salim masih berada di SK Seri Kuala.

"Seramai 20 lagi mangsa daripada empat keluarga dari Kampung Paya juga masih ditempatkan di Dewan Kampung Paya manakala 24 mangsa daripada lima keluarga dari Kampung Sungai Yu kini berada di Dewan Masjid Haji Yusof Bukit Kecil," katanya.

About Izikit

«
Next
Newer Post
»
Previous
Older Post

No comments:

Leave a Reply

Komen apa saja , cuma anda bertangggungjawab sepenuhnya atas komen anda sendiri .