Ahli keluarga seorang pelajar berusia 16 tahun yang patah bahu kiri selepas dibelasah tenaga pengajar sebuah maahad tahfiz di Puchong mempersoalkan pengurusan pusat itu yang sehingga kini masih belum mengambil sebarang tindakan terhadap guru berkenaan.
Dalam kejadian April lalu, pelajar berkenaan Muhammad Irfan Mohd Adib dibelasah selepas didakwa meminum air mineral yang disejukkan oleh tenaga pengajar berusia 21 tahun terbabit.
Berang dengan tindakan Muhammad Irfan, guru terbabit kemudian masuk ke bilik asrama pelajar berkenaan sebelum memukulnya menggunakan kayu.
Akibat kejadian itu, pelajar berkenaan Muhammad Irfan Mohd Adib terpaksa menjalani pembedahan untuk memasukkan besi dan enam skru bagi membetulkan semula tulang bahu yang patah.
Menurut bapa mangsa Mohd Adib Hassan, 43, lebih mengecewakan lagi apabila mereka langsung tidak diberitahu mengenai kejadian berkenaan dan anaknya juga tidak dibawa untuk mendapatkan rawatan.
Katanya, Irfan hanya mendapat rawatan apabila dia membawa anaknya ke hospital selepas tiga hari kejadian dalam keadaan bahu kiri yang bengkak selain lebam di muka dan badan.
“Saya sangat tersentuh dan sedih apabila mendapat tahu kesalahan anak saya adalah kerana minum air mineral. Dia dihukum sehingga terpaksa menjalani pembedahan memasukkan besi di tulang bahu dan mengalami kecacatan kekal.
“Lebih menyedihkan lagi apabila, anak saya langsung tidak menerima rawatan walaupun keadaannya sangat serius,” katanya ketika dihubungi, semalam.
Menurutnya, belum isu membabitkan anaknya selesai, satu lagi kejadian pelajar dibelasah dilaporkan berlaku 9 September lalu apabila seorang pelajar berusia 14 tahun dibelasah menggunakan paip getah sehingga lebam di kepala dan badan.
Katanya, kejadian yang menimpa anaknya itu sepatutnya dijadikan iktibar oleh guru yang lain dan walaupun anak mereka bersalah, tetapi ada had hukuman yang wajar diberikan dan bukannya dengan mengikut sesuka hati serta emosi.
“Bukan saya manjakan anak sehingga tak boleh dijentik atau marah. Saya setuju jika rotan dengan tujuan mendidik dan membetulkan kesalahan tetapi hukumlah dengan seadilnya,” katanya.
No comments: