Bukan sesuatu yang luar biasa apabila Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak tidak menghadiri Persidangan Agung Pertubuhan Bangsa Bersatu (UNGA), kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.
Beliau berkata mewakilkan tugas mengetuai delegasi Malaysia kepada timbalan perdana menteri bukan merupakan sesuatu yang luar biasa kerana banyak negara lain yang menghantar wakil bagi mewakili ketua negara dan kerajaan masing-masing.
"Bukan merupakan sesuatu yang ganjil untuk sama ada menteri luar atau timbalan perdana menteri hadir sebagai wakil pada Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB)," katanya kepada media Malaysia yang membuat liputan kehadiran beliau di UNGA di sini pada Ahad.
Beliau berkata daripada 193 negara anggota PBB, setakat ini 54 negara termasuk Indonesia yang menyatakan bahawa ketua negara dan kerajaan mereka tidak akan menghadiri perhimpunan tahunan PBB itu.
"Dan ketika zaman perdana menteri yang memerintah paling lama dulu pun terdapat juga orang lain yang mewakili beliau," kata Ahmad Zahid.
"Saya harap perkara ini tidak perlu digembar-gemburkan kerana saya yakin apa yang dilakukan oleh perdana menteri ialah sesuatu yang wajar dan tidak berlaku keluarbiasaan," kata Ahmad Zahid.
Sependapat dengan beliau, Menteri Luar Datuk Seri Anifah Aman berkata beliau pernah diberi tanggungjawab untuk mengetuai delegasi Malaysia ke UNGA pada 2009.
"Kalau kita lihat daripada senarai kedatangan sejak beberapa tahun lalu, bukan semua negara menghantar ketua negara atau ketua kerajaan masing-masing," katanya.
Ahmad Zahid tiba di New York pada Sabtu untuk mengetuai perwakilan Malaysia ke sesi ke-71 UNGA.
No comments: