Syarikat pizza terkenal , Domino’s akan melakukan percubaan penghantaran piza menggunakan robot di New Zealand, kata syarikat itu semalam sekali gus menjadi perkhidmatan pertama seumpamanya di dunia.
Perkhidmatan canggih itu, menurut Domino’s, dikenali sebagai Unit Robotik Domino’s (DRU).
Robot DRU yang mempunyai empat roda itu dibina di Australia. DRU mempunyai ketinggian hampir satu meter dan dilengkapi ruang pemanas yang boleh mengisi 10 kotak piza pada sesuatu masa.
Robot berkuasa bateri itu turut dilengkapi sensor untuk mengelakkan halangan. Menurut Domino’s, robot itu boleh menghantar piza dalam lingkungan jarak 20 kilometer dari premisnya sebelum kembali untuk dicas semula.
Pelanggan akan diberikan kod apabila membuat tempahan. Mereka akan menaip kod tersebut pada papan kekunci DRU untuk membuka kompartmennya dan mengambil piza mereka.
“DRU sangat menawan dan kami yakin satu hari nanti, robot ini akan menjadi sebahagian daripada keluarga besar Domino’s,” kata Pengurus Domino’s New Zealand, Scott Bush.
Walaupun tarikh untuk percubaan itu belum dimuktamadkan, Menteri Pengangkutan, Simon Bridges menyatakan bahawa kerajaan sedia bekerjasama dengan Domino’s dan mahu projek tersebut diteruskan.
No comments: