» » » 7 ribu orang mendakwa mereka dipaksa masuk Islam di Malaysia


Persatuan Peguam Muslim Malaysia (PPMM) berganding bahu dengan NGO Hindu dikenali sebagai 'Hicoat' atau pasukan bertindak penukaran Hindu, bagi mengendalikan masalah 7,000 orang bukan Islam yang didakwa 'dipaksa' memeluk Islam.

Presidennya Datuk Zainul Rijal Abu Bakar berkata, masalah tersebut sebenarnya berpunca daripada kesilapan pendokumentasian dan setiap kes diteliti secara serius untuk diselesaikan.

Malah tegas beliau, kedua-dua pihak menerusi hasil pertemuan hari ini telah menubuhkan satu jawatankuasa khas bagi mengendalikan kesemua 7,000 kes kesalahan pendokumentasian itu.

"Islam tidak menyebut untuk memaksa mana-mana individu bukan Islam memeluk Islam dan sebaliknya diberikan kebebasan untuk beragama.

"Jadi setelah kedua-dua pihak berbincang, kami dapati terdapat ruang kesemua kes ini perlu diteliti segera dan boleh diselesaikan secara baik. Kita juga akan melihat bagaimana boleh berlakunya kesilapan dokumentasi dalam perkara sensitif ini sebelum mengambil tindakan sewajarnya.

"Dalam soal ini kami para pakar undang-undang bersama NGO akan menggunakan kaedah dan mekanisme terbaik termasuk bekerjasama dengan Jabatan Agama Islam dan mahkamah syariah untuk menyelesaikan setiap kes," katanya dalam sidang media khas di sini membincangkan isu tersebut bersama Hicoat yang dipengerusikan oleh Setiausaha Agung Hindu Sangam Malaysia (MHS), Arun Doraisamy di ibu pejabat Pusat MHS petang tadi.

Dalam pada itu, Arun yang juga Penasihat Belia Hindu (HYO) Selangor berkata, pihaknya telah berkongsi pengalaman mengendalikan 4,500 kes seumpama itu sejak 2012 hingga hari ini.

Katanya, empat faktor menjadi punca kesemua kes itu antaranya kesilapan dalam pendokumentasian pendaftaran (51 kes) dan perkahwinan melibatkan ibu bapa yang berlainan agama mendahului carta itu dengan lebih 200 kes yang sedang diteliti.

Menuru beliau, jumlah ahli yang akan menganggotai jawatankuasa khas itu akan dimuktamadkan dalam masa terdekat dan Jabatan Pendaftaran Negera diharap dapat memainkan peranan utama bagi mencari penyelesaian kesemua kes.

"Pihak kami mahu menyelesaikan kesemua 7,000 kes pemelukan Islam akibat kesilapan dokumentasi itu secara baik dan efisien menggunakan saluran undang-undang yang ada.

"Sementara pelbagai pihak di luar sana melihat segala masalah kes berkaitan agama ini dengan persepsi negatif, kami sangat yakin dengan kerjasama yang terjalin ini dapat menangkis segala andaian itu.

"Kami tidak mahu dan berminat melihat lagi kes-kes konflik agama seperti Indhra Gandhi yang berjuang di mahkamah dalam soal anak mereka," katanya.



About Izikit

«
Next
Newer Post
»
Previous
Older Post

No comments:

Leave a Reply

Komen apa saja , cuma anda bertangggungjawab sepenuhnya atas komen anda sendiri .