» » Pengerusi PAC dakwa hanya akan panggil lebih banyak saksi jika ia diperlukan


Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) yang mengakhiri prosidingnya bagi siasatan kes 1Malaysia Development Berhad (1MDB) hari ini berkata, hanya akan mempertimbangkan memanggil semula saksi sekiranya wujud keperluan.

Pengerusi PAC Datuk Hasan Arifin berkata, keutamaan badan bi-partisan itu ialah mendengar pembentangan ketua audit negara berhubung Laporan Akhir Pengauditan 1MDB termasuk menyiapkan laporannya untuk dibentang di Parlimen.

"Selepas daripada pembentangan laporan akhir ketua audit negara ini, jika sangat perlu dan ada kewajaran dalam membantu PAC bagi mendapatkan maklumat membuat laporan berhubung pengurusan kawalan urus tadbir 1MDB ke Parlimen, barulah jawatankuasa ini akan menimbang memanggil saksi.

"Keutamaan PAC ketika ini, adalah mendengar pembentangan ketua audit negara berhubung laporan akhir pengauditan 1MDB dan menyiapkan laporan PAC bagi dibentangkan ke Parlimen secara telus dan adil," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Prosiding terakhir PAC hari ini memanggil 2 saksi, iaitu bekas pengerusi lembaga pengarah 1MDB Tan Sri Bakke Mohd Salleh dan bekas ketua pegawai eksekutif 1MDB Datuk Shahrol Azrai Ibrahim Halmi, kata Hasan.

Hasan dalam kenyataannya pada minggu lepas berkata, prosiding PAC berhubung kes 1MDB akan berlangsung selama 2 hari iaitu hari ini dan esok.

Bagaimanapun, difahamkan PAC menghabiskan prosidingnya dengan menyoal siasat kedua-dua saksi hari ini.

Hasan berkata, PAC akan mendengar pembentangan Laporan Akhir Ketua Audit Negara Terhadap Pengauditan pada 24 dan 25 Februari ini.

Pada masa sama, Hasan juga menyeru rakyat agar tidak meragui dan sebaliknya meletakkan keyakinan terhadap laporan PAC dalam kes 1MDB.

"Untuk pengetahuan semua, ahli PAC terdiri daripada parti pembangkang iaitu PKR, DAP dan PAS sementara Barisan Nasional (BN) pula dianggotai Umno, MCA, Gerakan, PBB dan Upko.

"Oleh itu, masyarakat umum tidak harus ada keraguan serta perlu yakin terhadap ketelusan laporan yang akan dibentang ke Parlimen nanti," katanya.

About Izikit

«
Next
Newer Post
»
Previous
Older Post

No comments:

Leave a Reply

Komen apa saja , cuma anda bertangggungjawab sepenuhnya atas komen anda sendiri .