» » » Makin ramai rakyat Malaysia lepas kerakyatan dan tutup akaun KWSP kerana ekonomi dan Ringgit semakin lemah


Ketika berhijrah ke Australia bersama keluarganya 6 tahun lalu, Joanne Koo tidak pernah merancang menggugurkan kewarganegaraan Malaysia kerana masih sayang dengan pertaliannya di negara ini, di samping simpanan dan pelaburannya.

Bagaimanapun, awal bulan ini, Koo dan suaminya pulang ke Kuala Lumpur bagi menyerahkan pasport Malaysia supaya dapat membuat pengeluaran penuh wang Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).

"Tidak pernah terlintas di fikiran kami untuk membuat satu keputusan besar dianggap orang tua sebagai langkah drastik (menggugurkan taraf kerakyatan).

"Tapi kami sudah memantau keadaan di Malaysia selama beberapa tahun kebelakangan ini, dan kami tidak yakin," katanya kepada The Malaysian Insider.

Koo, 44, merupakan antara ribuan rakyat Malaysia di luar negara yang bimbang dengan skandal kewangan dan ketidakstabilan politik melanda negara ini sejak 2 tahun lalu, dan membuat keputusan memindahkan simpanan persaraan ke "persekitaran lebih selamat".

"Kerajaan sekarang mungkin akan menggunakan institusi seperti KWSP dan Tabung Haji bagi menyelamatkan projek atau syarikat yang gagal," kata Koo yang mempunyai simpanan persaraan berjumlah "ratusan ribu".

"KWSP ialah simpanan hasil titik peluh kita, dan tiada siapa mahu simpanan persaraan berada dalam poket orang lain satu hari nanti."

Lebih RM300 juta dikeluarkan daripada KWSP 2014

Pada 2014, sejumlah 3,098 rakyat Malaysia melepaskan kerakyatan mereka dan meninggalkan negara ini, mengeluarkan sejumlah RM303 juta simpanan daripada KWSP.

Angka ini merupakan peningkatan mendadak sebanyak 63% berbanding 2010, di mana hanya RM185 juta dikeluarkan individu yang meninggalkan negara ini, menurut statistik diperolehi daripada laman sesawang KWSP.

Seorang bekas peguam yang hanya mahu dikenali sebagai ML dan sudah berpindah ke Switzerland pada 2010 berkata, beliau terdorong menggugurkan kerakyatan dan mengeluarkan simpanan persaraannya selepas membaca laporan negatif mengenai Malaysia ketika tinggal di Zurich.

"Keputusan saya (menjadi warganegara Switzerland dan mengeluarkan simpanan KWSP) dipengaruhi pelbagai isu besar yang melanda negara kebelakangan ini," kata suri rumah itu, yang baru-baru ini pulang ke Kuala Lumpur untuk menyerahkan pasport antarabangsanya.

"Saya sentiasa mengikuti berita di Malaysia.

“Setiap kali saya membaca berita, saya benar-benar terkejut dengan jawapan yang diberikan atau kenyataan yang dibuat, dan saya rasa begitu risau dan bimbang mengenai keadaan hal ehwal di Malaysia," katanya.

Selain kebimbangan semakin memuncak terhadap ketidaktentuan ekonomi dan politik, kemerosotan nilai ringgit yang berterusan sepanjang tahun lalu juga dipercayai menjadi sebab rakyat Malaysia di perantauan memilih menggugurkan kerakyatan mereka dan menutup akaun simpanan KWSP mereka, kata ahli Parlimen pembangkang, Ong Kian Ming.

"Pada masa lalu, ramai orang akan meninggalkan wang mereka dalam KWSP walaupun mereka tinggal atau bekerja di luar negara, kerana KWSP menawarkan pulangan yang baik.

"Tetapi mungkin salah satu faktor yang mendorong sebahagian daripada mereka melakukan pengeluaran awal ini adalah kebimbangan mengenai penyusutan nilai mata wang.

“Ketika nilai ringgit terus merosot, kita tidak dapat menjangkakan prestasinya, sukar untuk naik jika nilainya semakin menyusut," katanya.

Kebimbangan tidak munasabah

Ahli Parlimen Serdang itu berkata, walaupun beliau tidak terkejut dengan peningkatan jumlah pengeluaran, beliau percaya ia disebabkan kebimbangan yang "tidak munasabah".

"Saya tidak hairan, ramai yang menggugurkan kewarganegaraan dan mengeluarkan simpanan mereka, kerana terdapat kebimbangan tinggi dan ketidaktentuan di negara ini dalam konteks yang lebih besar," kata Ong.

"Tetapi saya fikir sebahagian daripadanya kebimbangan mereka tidak munasabah. KWSP merupakan antara institusi kerajaan terbaik di kalangan semua institusi lain dalam menguruskan wang rakyat."

Bagaimanapun, Ong berkata rakyat Malaysia tidak kira di dalam mahupun di luar negara lebih cenderung mengaitkan isu berkaitan KWSP dengan masalah yang melanda kerajaan.

Koo dari Australia berkata, dividen tinggi KWSP setiap tahun adalah sebab utama beliau enggan membuat pengeluaran penuh sebelum ini.

Tetapi beliau akhirnya memutuskan berbuat demikian selepas kemerosotan ekonomi disebabkan salah urus tadbir negara, sehinggakan tidak sanggup mengambil risiko.

"Sedikit memalukan, sejujurnya, kerana KWSP sendiri dilihat menguruskan simpanan dengan baik," kata Koo.

"Tetapi kami memutuskan tidak akan menanggung risiko dan adalah lebih baik membuat simpanan persaraan kami di tempat yang lebih selamat.

"Malangnya, ia bermakna menyimpan di luar Malaysia."

About Izikit

«
Next
Newer Post
»
Previous
Older Post

No comments:

Leave a Reply

Komen apa saja , cuma anda bertangggungjawab sepenuhnya atas komen anda sendiri .