» » » Panel SPRM mahu jumpa peguam negara minggu depan untuk minta penjelasan berkaitan siasatan skandal RM2.6 bilion Najib Razak


Dua panel penasihat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) buat pertama kalinya akan bertemu peguam negara bagi mendapatkan penjelasan berhubung keputusan kontroversi derma RM2.6 bilion dan SRC International Sdn Bhd, kata sumber.

Ahli kedua-dua jawatankuasa itu, Panel Penilaian Operasi (PPO) dan Panel Khas dijangka bertemu Peguam Negara Tan Sri Mohamed Apandi Ali minggu depan.

Langkah ini mengejutkan kerana kedua-dua jawatankuasa itu pada mulanya menggesa penyiasat SPRM "berbincang sendiri" dengan Apandi susulan keputusannya untuk tidak mendakwa Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak kerana "bukti tidak mencukupi" dan mengarahkan siasatan dihentikan.

Mereka juga memohon penjelasan Apandi atas keengganannya membenarkan penyiasat mengumpul bukti berhubung derma RM2.6 bilion yang disalurkan ke dalam akaun bank peribadi perdana menteri.

Sumber memaklumkan kepada The Malaysian Insider:"Kami mahu dengar sendiri daripada mulut peguam negara mengapa beliau membuat keputusan tersebut."

Ini bakal menjadi pertemuan kali pertama di antara jawatankuasa pemantau SPRM dan peguam negara berhubung kes berprofil tinggi yang menarik perhatian media di seluruh dunia itu.

Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM Datuk Seri Mohd Shukri Abdull dalam satu kenyataan pada 31 Disember lalu berkata, kertas siasatan sudah dibentangkan kepada panel khas sebelum ia diserahkan kepada peguam negara.

PPO merupakan sebuah badan pemantau diamanahkan untuk menerima dan meneliti laporan daripada SPRM mengenai keputusan siasatan yang dibuat peguam negara dan mengemukakan pandangan mengenai tindakan ke atas kes di mana tiada pendakwaan dikemukakan.

Pengerusi panel ini ialah bekas setiausaha kerajaan negeri Sarawak, Tan Sri Dr Hamid Bugo.

Lima ahli Panel Khas terdiri daripada bekas ketua polis negara, Tan Sri Musa Hassan, bekas hakim Mahkamah Rayuan Datuk Mohd Noor Abdullah, bekas timbalan gabenor Bank Negara Datuk Zamandi Abdul Ghani, bekas presiden Majlis Peguam Lim Chee Wee dan peguam Datuk Zuraidah Atan.

Kedua-dua panel ini bermesyuarat pada 28 Januari lepas, 2 hari selepas Apandi mengarahkan SPRM menutup 3 kertas siasatan kerana terdapat bukti yang tidak mencukupi untuk melakukan pendakwaan terhadap Najib.

Dalam satu kenyataan media ringkas kedua-dua panel itu berkata mereka "memandang serius mengenai" keputusan Apandi dan menggesa penyiasat berjumpa sendiri dengan peguam negara.

Apandi berkata, berdasarkan keterangan saksi dan dokumen sokongan dikemukakan SPRM, sejumlah AS$681 juta (RM2.08 bilion) yang didepositkan ke dalam akaun bank peribadi perdana menteri sebelum Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) pada 2013 merupakan sumbangan peribadi daripada keluarga diraja Arab Saudi dan "diberikan kepadanya tanpa mengharapkan sebarang balasan".

"SPRM dalam siasatan mereka sudah bertemu secara peribadi dan mengambil keterangan daripada saksi termasuk penderma, yang mengesahkan derma itu diberikan kepada PM secara peribadi," kata Apandi.

Tambahan pula, peguam negara berkata perdana menteri sudah memulangkan AS$620 juta (RM2.03 bilion) kepada keluarga diraja Arab Saudi pada Ogos 2013 kerana wang itu tidak digunakan.

Berhubung siasatan mengenai SRC International, Apandi berkata:"Tiada bukti yang menunjukkan PM mempunyai sebarang pengetahuan dan, atau sudah dimaklumkan wang itu dipindahkan ke dalam akaun bank peribadinya daripada akaun SRC International."

"Tiada bukti PM memberikan kelulusan untuk pemindahan wang daripada akaun SRC International ke dalam akaun bank peribadinya," kata Apandi.

SPRM membuka siasatan berikutan laporan dalam The Wall Street Journal (WSJ) dan Sarawak Report pada Julai tahun lepas yang mendakwa sebahagian sumbangan RM2.6 bilion, iaitu RM42 juta berasal dari SRC International, anak syarikat kepada firma diilhamkan Najib, 1Malaysia Development Bhd (1MDB).

Ini berdasarkan kepada dokumen penyaluran wang yang diberikan penyiasat Malaysia, lapor WSJ dan Sarawak Report.

Sabtu lalu, New York Times memetik Menteri Luar Arab Saudi Adel al-Jubeir sebagai berkata, beliau tidak fikir AS$681 juta itu daripada kerajaan Arab Saudi atau ia derma politik.

"Ia warga Saudi, saya percaya, dan dana itu diberi kepada satu pelaburan di Malaysia," katanya.

Pada hari sama akhbar berbahasa Cina Sinchew Daily dalam wawancara eksklusif bersama Apandi memetik peguam negara itu sebagai berkata, salah seorang anak kepada allahyarham Raja Abdullah Abdulaziz Al Saud yang mendermakan RM2.6 bilion kepada Najib.

sumber


About Izikit

«
Next
Newer Post
»
Previous
Older Post

No comments:

Leave a Reply

Komen apa saja , cuma anda bertangggungjawab sepenuhnya atas komen anda sendiri .