» » » PERKASA bimbang dan persoalkan kenapa secara tiba-tiba peguam negara M'sia mahu pinda OSA


Kumpulan hak Melayu Perkasa hari ini melahirkan kebimbangan terhadap rancangan peguam negara meminda Akta Rahsia Rasmi 1972 (OSA), mengatakan langkah itu boleh menyebabkan rakyat di negara ini bangun memberontak.

Ketua penerangannya Hassan Basri Muhammad berkata, usaha Tan Sri Mohamed Apandi Ali itu dilihat lebih menjurus kepada kebimbangan beliau tentang kesedaran rakyat dan terhakisnya keyakinan mereka apabila terdedahnya dokumen dan maklumat yang membabitkan salah laku dan penyelewengan.

"Persoalannya apakah pendedahan maklumat tentang masalah tender dan perniagaan yang tidak mengikut peraturan, salah laku rasuah, isu penyelewengan, penipuan dan sebagainya itu merupakan isu keselamatan negara," soalnya dalam satu kenyataan hari ini.

"Perkasa melihat dan melahirkan kebimbangan isu keselamatan lebih besar ialah apabila rakyat bangkit dan memberontak menzahirkan ketidakpuasan hati apabila ada usaha menutup dan melindungi maklumat penyelewengan melalui pindaan OSA tersebut.

"Sepatutnya peguam negara lebih berusaha mempertahankan maklumat dan sumber dalam usaha mewujudkan sebuah kerajaan yang bersih dan telus di bawah prinsip 'good governance' dan sekali gus menambahkan keyakinan rakyat," katanya.

Hassan berkata, Perkasa melihat "ada sesuatu yang tidak kena" apabila Apandi tiba-tiba mencadangkan pindaan itu bagi mengenakan hukuman yang lebih berat sehingga penjara seumur hidup dan 10 sebatan kepada pesalah yang membocorkan maklumat termasuk pengamal media.

Katanya, Perkasa bersetuju dengan Pertubuhan Wartawan Nasional (NUJ) yang mengatakan cadangan pindaan ini satu tindakan zalim dan cubaan menakutkan masyarakat dan pengamal media daripada mendedahkan penyelewengan dan salah laku sesetengah pihak.

sumber


About Izikit

«
Next
Newer Post
»
Previous
Older Post

No comments:

Leave a Reply

Komen apa saja , cuma anda bertangggungjawab sepenuhnya atas komen anda sendiri .