» » » Bekas pengerusi lembaga pengarah 1MDB letak jawatan 2 kali kerana tidak puas hati dengan pengurusan 1MDB


Bekas pengerusi lembaga pengarah 1Malaysia Development Berhad (1MDB) Tan Sri Mohd Bakke Salleh memberitahu prosiding Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) hari ini, beliau meletakkan jawatan 2 kali kerana tidak berpuas hati dengan pengurusan syarikat tersebut.

Naib Pengerusi Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) Dr Tan Seng Giaw berkata, perkara itu dimaklumkan Bakke kepada jawatankuasa itu selaku saksi terakhir dalam kes 1MDB.

Ahli Parlimen DAP itu berkata, dalam prosiding hari ini, Bakke hanya memaklumkan alasan yang menyebabkan beliau meletak jawatan dalam syarikat kontroversi yang terbabit skandal hutang RM42 bilion itu.

"Bakke (mengakui) dilantik menjadi pengerusi, tapi beliau tidak puas hati dengan pengurusan, dan kemudiannya letak jawatan.

"Jadi, beliau cerita mengapa beliau meletak jawatan dalam 1MDB, (iaitu) kerana beliau tidak berpuas hati. Itu saja," katanya sewaktu dihubungi The Malaysian Insider.

Bakke menjadi saksi dalam prosiding terakhir PAC hari ini melibatkan kes 1MDB, selain bekas ketua pegawai eksekutif Datuk Shahrol Azral Ibrahim Halmi.

Prosiding tersebut bermula kira-kira jam 10.30 pagi dan berakhir pada jam 3.30 petang di mana media tidak dibenarkan memasuki bangunan Parlimen bagi membuat liputan.

Dr Tan berkata, Bakke memaklumkan kepada PAC, beliau meletakkan jawatan sebanyak 2 kali, kali pertama pada 7 April 2009 dan kali ke-2 pada 11 Oktober 2009.

"Beliau berkata, pertama kali meletakkan jawatan sebab pengurusan (1MDB) tidak ikut kehendak beliau, (tetapi) kemudian dilantik semula.

"Namun Bakke berkata, kerana cadangannya (sekali lagi) tidak diikuti (pengurusan 1MDB), maka beliau letak jawatan semula. Bakke seorang lelaki yang baik," katanya.

Bakke ketika ini memegang jawatan presiden dan ketua eksekutif kumpulan Sime Darby.

Julai lalu, The Star melaporkan 2 pengarah 1MDB meletak jawatan sebagai langkah protes selepas mengetahui dana bernilai AS$700 juta (RM2.6 bilion) untuk projek kerjasama dengan PetroSaudi dipindahkan ke syarikat lain pada 2009.

Laporan akhbar bahasa Inggeris itu berdasarkan maklumat diperoleh daripada penyiasat yang meneliti dakwaan salah laku terhadap dana 1MDB.

Laporan itu juga menyebut Bakke dan Tan Sri Azlan Mohd Zainol membuat keputusan meletak jawatan kerana marah apabila tuntutan mereka supaya wang berkenaan diserah semula, diabaikan.



About Izikit

«
Next
Newer Post
»
Previous
Older Post

No comments:

Leave a Reply

Komen apa saja , cuma anda bertangggungjawab sepenuhnya atas komen anda sendiri .