» » » Gesa kerajaan laksanakan gaji minima RM1,500 sebelum tuduh anak muda M'sia terlalu memilih kerja


Putrajaya seharusnya melaksanakan gaji minina sebanyak RM1,500 sebulan dan mengukuhkan kesatuan sekerja sebelum menggesa anak-anak muda menyertai bidang pekerjaan berbahaya, kotor, dan susah (3D), kata PKR. 

Pengarah Komunikasi PKR Fahmi Fadzil berkata, Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi seharusnya menyedari faktor yang menyebabkan anak-anak muda enggan menyertai bidang yang kini didominasi pekerja asing.

"Gesaan Zahid hari ini agar anak muda mengambil alih kerja-kerja yang diisi pekerja asing cukup menarik tetapi pra-matang.

"Adakah Zahid benar-benar memahami sebab kenapa anak muda hari ini enggan bekerja di sektor perladangan atau mana-mana sektor yang disebut '3D' atau 'Dirty, Difficult and Dangerous' atau 'Kotor, Susah dan Berbahaya'?" katanya, dalam satu kenyataan hari ini.

Fahmi berkata, Putrajaya seharusnya meningkatkan pelaksanaan gaji minima seperti yang dicadangkan pembangkang iaitu RM1,500 sebulan.

Beliau juga mencadangkan Putrajaya perlu memastikan hak pekerja bukan sahaja terjamin tetapi diperkukuh terutamanya dengan menguatkan kesatuan-kesatuan sekerja.

"Memastikan sistem pendidikan vokasional yang menyediakan golongan muda dengan rangkaian atau jaringan industri yang lebih menyeluruh.

"Dan memberi insentif kepada pemodal, pemilik syarikat dan paling penting anak muda untuk mengambil alih kerja-kerja yang dimonopoli pekerja asing, terutama melalui geran untuk meningkatkan teknologi yang diguna dalam bidang-bidang kerja tersebut," katanya dalam kenyataan itu.

Fahmi berkata, tanpa pelaksanaan langkah-langkah itu, gesaan Zahid hanyalah retorik semata-mata dan bukannya niat ikhlas untuk membantu anak muda mengambil alih kerja yang diisi pekerja asing.

Zahid yang juga menteri dalam negeri hari ini mencabar belia dan anak muda Malaysia untuk bekerja dalam bidang 3D jika menolak kemasukan pekerja asing ke negara ini.

Beliau berkata, jika perkara itu mampu dilakukan, Malaysia tidak perlu lagi bergantung kepada pekerja asing termasuk warga Bangladesh.

"Adakah anda setuju semua pekerja asing dibawa balik ke negara asal? Adakah anda sanggup bekerja mengambil buah di ladang? Sapu sampah di kilang-kilang?"

Zahid berkata demikian semasa berucap di hadapan hampir 1,000 anggota Majlis Belia Selangor semasa merasmikan mesyuarat agung tahunannya di Shah Alam hari ini.






About Izikit

«
Next
Newer Post
»
Previous
Older Post

No comments:

Leave a Reply

Komen apa saja , cuma anda bertangggungjawab sepenuhnya atas komen anda sendiri .