» » Urusniaga penjualan Bandar Malaysia sebenarnya akan merugikan rakyat Malaysia


Rafizi Ramli mendakwa hari ini, penjualan pegangan saham 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dalam Bandar Malaysia kepada konsortium yang terdiri daripada Iskandar Waterfront Holdings Sdn Bhd (IWH) dan China Railway Engineering Corporation (M) Sdn Bhd (CREC) akan merugikan rakyat.

Setiausaha Agung PKR itu berkata, 1MDB dibayar kerajaan persekutuan dan meminjam dari Tabung Haji (TH) dan Kumpulan Wang Amanah Persaraan (KWAP) untuk membangunkan pemindahan Pengkalan Udara Kuala Lumpur dan naiktaraf 8 pengkalan udara lain.

"Walaupun 1MDB dibayar sepenuhnya kerajaan persekutuan dan 1MDB sendiri meminjam RM1.5 bilion dari TH dan KWAP bagi membiayai kos projek, ia masih belum mampu menyempurnakan kerja pemindahan dan naiktaraf pengkalan udara itu.

"Malah, jumlah kos yang masih belum dibayar adalah RM1.9 bilion.

"Jika semua dana rakyat ini tidak dibelanjakan bagi tujuan kerja pemindahan dan naiktaraf pengkalan udara seperti yang diperuntukkan di dalam perjanjian dengan kerajaan Malaysia, ke mana dana rakyat ini dibelanjakan?" soal Rafizi, dalam satu kenyataan hari ini.

Malah, dalam penjualan tanah Bandar Malaysia, ahli Parlimen Pandan itu berkata, perjanjian jual beli pegangan 60% saham 1MDB di dalam Bandar Malaysia kepada Konsortium IWH-CREC masih belum dimuktamadkan kerana tertakluk kepada beberapa syarat yang ditetapkan termasuk mendapat persetujuan pemegang sukuk.

"1MDB bertegas ia belum melanggar perjanjian sukuk dengan TH dan KWAP selagi 60% sahamnya di dalam Bandar Malaysia tidak dipindahkan kepada Konsortium IWH-CREC."

Sehubungan itu, Rafizi berkata, keputusan sama ada sebahagian Bandar Malaysia itu dijual kepada konsortium yang dianggotai syarikat berkaitan kerajaan China ini bergantung kepada sama ada TH dan KWAP memberi kebenaran kepada penjualan tersebut.

"Saya difahamkan tempoh masa untuk memuktamadkan semua syarat ini adalah Jun 2016.

"Maka, ada ruang selama 6 bulan untuk rakyat campur tangan dan mendesak TH dan KWAP supaya tidak memberi kebenaran agar urusniaga ini tidak diteruskan," katanya.

"Sebagai seorang akauntan bertauliah, saya memahami semua terma terbitan sukuk 1MDB yang dilanggani TH dan KWAP."

Beliau berkata, pihaknya juga sedia maklum 1MDB memperolehi dana sebanyak RM1.5 bilion dari terbitan sukuk tersebut dan segala keuntungan yang perlu dibayar 1MDB kepada pemegang sukuk akan dibayar semasa tempoh matang, menjadikan nilai pelupusan sukuk itu pada tempoh matang ialah RM2.4 bilion.

"1MDB tidak harus mengelak dari menjawab persoalan pokok dengan berselindung di sebalik terma kewangan yang tidak mudah difahami rakyat.

"Perkara paling penting ialah TH dan KWAP meminjamkan RM1.5 bilion dana rakyat kepada 1MDB.

"Dana itu nampaknya tidak digunakan untuk menyiapkan kerja pemindahan dan naiktaraf pengkalan udara seperti yang sepatutnya.

"Kini dana itu habis dan 1MDB masih berhutang dan perlu melangsaikan tanggungan kewangannya bersabit kerja pemindahan sebanyak RM1.9 bilion," katanya.

1MDB juga, kata Rafizi, terpaksa pula menjual 60% dari pegangannya dalam Bandar Malaysia untuk mengurangkan hutang lain.

"Namun, sehingga kini belum ada sebarang penyelesaian siapa sebenarnya yang akan membayar balik hutang 1MDB kepada TH dan KWAP sebanyak RM1.5 bilion ini (atau RM2.4 bilion jika dibenarkan matang).

"Mengambil kira segala masalah kewangan yang dicetuskan 1MDB sehingga terpaksa menjual aset negara, saya berpandangan TH dan KWAP tidak perlu menunggu tempoh matang dengan menuntut 1MDB membayar kembali hutang RM1.5 bilion itu secara serta-merta demi menyelamatkan simpanan rakyat."

Selain itu, beliau mendakwa, 1MDB sudah kehabisan dana untuk menyiapkan kerja memindahkan dan menaiktaraf pengkalan udara.

"Sebab itulah pegangannya sebanyak 60% di dalam Bandar Malaysia terpaksa dijual kepada Konsortium IWH-CREC.

"Ini bermakna 1MDB terpaksa bergantung kepada suntikan dana dari Konsortium IWH-CREC untuk membayar kontraktornya kerana 1MDB tidak lebih dari syarikat Ali Baba yang menjadi broker tanah semata-mata.

"Jika Konsortium IWH-CREC ini enggan membayar, atau lewat membayar, atau tidak bersetuju dengan syarat perjanjian, sudah tentu perkara itu akan mempunyai kesan kepada kerja memindahkan dan menaiktaraf pengkalan udara.

"Ini kerana, tanpa suntikan dana ini, 1MDB tidak boleh membayar kontraktornya," kata Rafizi.

Disebabkan itu, beliau berkata, urusniaga itu melibatkan kepentingan keselamatan dan pertahanan negara kerana ia mempunyai kesan kepada kerja memindah dan menaiktaraf pengkalan udara di seluruh negara.

Oleh itu, beliau pihaknya akan menulis secara rasmi kepada pengurusan TH dan KWAP (dalam kapasiti mereka sebagai pemegang sukuk) agar tidak memberi kebenaran seterusnya menghentikan penjualan itu.

Beliau juga akan menjalankan kempen supaya orang ramai juga menulis kepada TH dan KWAP untuk tidak memberi kebenaran.

"Dan saya akan memfailkan usul di sidang Parlimen Mac 2016 untuk mendesak TH dan KWAP menggunakan haknya menuntut bayaran serta merta RM1.5 bilion yang dipinjamkan kepada 1MDB," kata Rafizi.

sumber


About Izikit

«
Next
Newer Post
»
Previous
Older Post

No comments:

Leave a Reply

Komen apa saja , cuma anda bertangggungjawab sepenuhnya atas komen anda sendiri .