Perkhidmatan kesihatan swasta, pilihan utama bagi yang mampu, dilaporkan melihat kejatuhan bilangan pesakit, dengan pengamal perubatan berkata ia trend akibat peningkatan kos sara hidup serta kejatuhan nilai ringgit berbanding dolar Amerika Syarikat (AS), menjadikan rawatan tertentu lebih mahal.
Pakar jantung Tan Sri Dr Ridzwan Bakar di hospital swasta Kuala Lumpur berkata, sesetengah pesakitnya sudah beralih ke hospital awam.
Beliau melihat kejatuhan 10% dalam kemasukan ke hospital swasta sejak April tahun lepas, apabila cukai barangan dan perkhidmatan (GST) mula dikuatkuasakan.
"Saya rasa ini penemuan umum hampir semua doktor yang bekerja di hospital swasta dalam kawasan Lembah Klang," kata pakar jantung berpengalaman selama 30 tahun bersama pusat kesihatan swasta kepada The Malaysian Insider.
"Kejatuhan itu kekal sehingga hujung tahun lepas," kata bekas presiden Persatuan Hospital Swasta (APHM) itu.
"Orang ramai semakin kurang pendapatan boleh guna," kata seorang lagi profesional industri, Presiden Persatuan Perubatan Malaysia (MMA) Dr Ashok Philip.
"Kita ada GST, ekonomi tidak begitu memberangsangkan, nilai ringgit merudum, dan keadaan semasa tidak menentu."
Sehubungan kejatuhan ini, angka mereka yang mendapatkan rawatan di hospital awam dilihat meningkat.
Khaidmat kesihatan awam di Malaysia hampir percuma atau yuran subsidi dikenakan bagi rawatan tertentu, walaupun pesakit perlu menunggu lebih lama berbanding hospital swasta.
"Rakan sekerja saya di hospital awam melihat peningkatan 25% dalam angka kemasukan ke hospital awam, mungkin terdapat pesakit yang beralih daripada sektor swasta ke awam," kata Dr Ridzwan.
Dr Ashok juga bersetuju dengannya.
"Jumlah pesakit luar di klinik swasta dan hospital sudah merudum. Ini kerana rawatan pesakit luar di klinik kerajaan hampir percuma," kata presiden MMA itu.
Ia merupakan tanda jelas apabila trend itu juga boleh dilihat dalam bidang onkologi, dengan pesakit kanser memilih untuk tidak mendapatkan rawatan kemoterapi yang penting di hospital swasta untuk menjimatkan belanja.
Dr Ridzwan berkata onkologi merupakan contoh terbaik di mana perubatan swasta terjejas dengan nilai pertukaran, disebabkan ciri rawatan tersebut.
"Ubat pesakit boleh mencecah ribuan ringgit setiap bulan dan tiada pilihan lain untuknya. (Pesakit) perlu diberi ubat itu," katanya.
Hospital swasta yang mempunyai lebih ramai pesakit dengan insurans mungkin tidak begitu terjejas, tetapi memandangkan hampir suku pesakit di membayar dengan wang mereka sendiri, impaknya kepada keuntungan hospital membimbangkan.
"Antara 30% ke 40% pesakit di hospital swasta membayar dengan wang mereka sendiri. Kita boleh anggap kebanyakan mereka perlu jimatkan perbelanjaan dan beralih ke hospital awam," kata Dr Ridzwan.
Prestasi ringgit memberi impak kepada bidang perubatan yang memerlukan terapi kronik mahal, kata seorang dalam industri farmaseutikal.
"Perubatan yang melibatkan bayi, kanak-kanak dan ibu mengandung tidak begitu terjejas," kata wakil jualan itu yang tidak mahu dinamakan.
"Kejatuhan angka pesakit juga berbeza di antara bidang terapi yang berbeza. Ada klinik swasta yang melihat kejatuhan lebih 50% sementara yang lain melihat kejatuhan lebih kecil pada 15% hingga 20%.
"Sebuah hospital swasta besar menutup salah satu wadnya kerana kekurangan pesakit," katanya dan menambah, beliau menjangkakan 2016 akan menjadi tahun sukar bagi perubatan swasta, terutama bagi terapi kronik mahal.
"Penggunaan ubat generik boleh meningkat sementara suplemen kesihatan boleh terjejas," katanya.
APHM tidak memberi respons kepada soalan The Malaysian Insider berhubung hal ini.
Mengembangkan kemudahan khidmat kesihatan awam
Ketua Pengarah Kementerian Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah, dalam sebuah jawapan kepada The Malaysian Insider berkata, kemudahan kerajaan sudah pun melihat peningkatan berterusan dalam permintaan perkhidmatan, tetapi menambah beliau tidak mempunyai data daripada sektor swasta untuk membandingkannya.
"Keadaan ekonomi semasa menyebabkan peningkatan dalam permintaan perkhidmatan kami tetapi dengan strategi yang kami laksanakan buat masa ini, kami bersedia untuk menghadapinya."
Angka daripada kementerian menunjukkan peningkatan dalam jumlah kemasukan ke hospital kerajaan 13.9% daripada 2.16 juta pesakit pada 2013 kepada 2.46 juta tahun lepas.
Angka pesakit luar hospital juga meningkat kepada 2.7 juta ataupun 5% daripada 54.2 juta pada 2013 ke 56.9 juta pada 2014.
Untuk mengendalikan angka tersebut, Dr Noor Hisham berkata kementerian mempertingkatkan kemudahan perkhidmatan awam, terutamanya di Klinik 1Malaysia (K1M), mengambil lebih ramai staf dengan purata 9% setiap tahun dan mengembangkan skop perkhidmatan penjagaan kesihatan asas.
"Sebagai contoh, dalam K1M, daripada rawatan sakit biasa, perkhidmatan kini diperkembangkan termasuk perkhidmatan kesihatan ibu mengandung dan kanak-kanak, khidmat doktor dan rawatan sakit kronik."
Beliau berkata, waktu perkhidmatan juga dipanjangkan, serta langkah menambah katil hospital di seluruh negara dengan membina hospital baharu, menaik taraf kemudahan dan menggunakan khidmat penjagaan harian untuk mengurangkan permintaan pesakit tetap.
sumber
No comments: