» » 30% IKS berisiko ‘tutup kedai’ selepas TPPA dilaksanakan di Malaysia



Kira-kira 30% daripada syarikat industri kecil dan sederhana (IKS) berdepan risiko mengalami kegagalan apabila Perjanjian Perkongsian Trans Pasifik (TPPA) berkuat kuasa dalam tempoh 2 tahun kerana akan menghadapi masalah memenuhi piawaian pekerja dan alam sekitar yang lebih tinggi di bawah perjanjian itu, kata satu kumpulan pekerja.

Berdepan persaingan yang meningkat daripada syarikat lebih besar, seperti Amerika Syarikat dan Jepun, perniagaan tempatan akan menghadapi tekanan mematuhi peraturan baru itu, kata pakar ketika perbahasan makin hangat sama ada Malaysia perlu menyertai TPPA atau tidak.

Persatuan Perusahaan Kecil dan Sederhana Malaysia berkata, peratusan itu adalah unjuran kesan pakatan perdagangan Asia Pasifik itu terhadap ahlinya jika Putrajaya tidak membantu IKS menyiapkan diri bagi menghadapinya.

Tidak seperti perjanjian perdagangan bebas (FTA) sebelum ini, TPPA mengubah cara 12 negara anggotanya menguruskan ekonomi dan perniagaan mereka.

Ia menetapkan peraturan baharu yang syarikat perlu ikuti seperti hubungan pekerja, amalan alam sekitar dan tadbir urus korporat.

Presiden Persatuan IKS Michael Kang berkata, ramai pengusaha IKS Malaysia akan sukar untuk menyesuaikan diri dengan peraturan dan undang-undang baharu itu, dan memerlukan sokongan penuh daripada kerajaan untuk membuat perubahan tersebut.

Penilaian Kang itu bersesuaian dengan hujah pakar lain yang mengatakan syarikat berorientasikan eksport yang sudah menceburi rantaian bekalan global akan menerima manfaat terbesar daripada TPPA.

Di Malaysia, hanya 19% daripada IKS berorientasikan eksport manakala selebihnya masih menumpukan kepada menghasilkan barangan dan perkhidmatan untuk pasaran tempatan, kata Kang.

Ramai dalam kategori kedua itu akan menghadapi kesukaran.

Salah satu kajian Putrajaya sendiri mendapati, syarikat berorientasi eksport bakal mendapat manfaat daripada TPPA kerana akan menikmati pasaran yang lebih besar untuk barangan mereka.

TPPA membuka 4 pasaran baharu bagi syarikat Malaysia, iaitu Amerika Syarikat, Kanada, Peru dan Mexico.

Menurut kajian Price Water House Coopers (PwC) itu, sektor seperti peruncitan dan pembinaan akan berdepan saingan lebih sengit dan memerlukan bantuan bagi meningkatkan keupayaan mereka beroperasi.

Kang berkata, di sinilah IKS perlukan bantuan kerajaan.

"Hanya segelintir IKS dalam sektor tekstil dan elektronik dan elektrik (yang berorientasikan eksport). Untuk memenuhi keperluan TPPA, IKS perlu memenuhi semua piawaian, seperti peraturan buruh dan alam sekitar.

"Kebanyakan IKS tidak bersedia. Jika IKS tidak bersedia, 30% daripada mereka akan lenyap," kata Kang dalam satu wawancara melalui emel dengan The Malaysian Insider.

Antara keperluan baru yang disyaratkan itu termasuk lebih kebebasan untuk pekerja, dalam dan luar negara, membentuk dan menyertai kesatuan dan lebih skop untuk merundingkan perjanjian perundingan kolektif.

Perjanjian itu juga menuntut kerajaan tegas menguatkuasakan piawaian alam sekitar bagi syarikat.

TPPA yang didorong AS merupakan perjanjian perdagangan antara 12 negara anggota.

Malaysia merupakan satu pihak kepada rundingan itu tetapi hanya akan menandatanganinya selepas undian di Parlimen pada sidang khas 26 dan 27 Januari ini.

Jika Malaysia menandatanganinya, ia mempunyai 2 tahun untuk mengubah undang-undang dan menyesuaikan diri dengan persekitaran perniagaan yang baru sebelum perjanjian itu berkuatkuasa pada 2018.

Selain peraturan baharu untuk perniagaan, seorang bekas senator S Ramakrishnan dilaporkan berkata, IKS akan terjejas teruk akibat persaingan yang meningkat daripada syarikat multinasional (MNC) yang lebih besar.

Kang bersetuju dengan pandangan ini, mengatakan IKS akan menghadapi cabaran hebat bersaing dengan syarikat rakan TPPA besar seperti AS dan Jepun.

Syarikat tempatan tidak berkemampuan daripada segi saiz, teknologi dan produktiviti untuk bersaing dengan MNC.

Bagi memastikan mereka boleh terus bertahan selepas TPPA, Kang berkata, IKS perlu mengejar dalam masa 2 tahun akan datang.

"IKS perlu belajar mengenai keperluan TPPA, bergerak ke dalam pasaran Asean untuk membina asas membangunkan kapasiti, kekal kompetitif, produktif dan transform.

"Kebanyakan IKS di Malaysia akan menghadapi masalah jika mereka tidak bersedia."

sumber


About Izikit

«
Next
Newer Post
»
Previous
Older Post

No comments:

Leave a Reply

Komen apa saja , cuma anda bertangggungjawab sepenuhnya atas komen anda sendiri .