Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) memutuskan memanggil semula bekas ketua pegawai eksekutif 1Malaysia Development Berhad (1MDB) Datuk Shahrol Azral Ibrahim Halmi dan bekas pengerusinya Tan Sri Mohd Bakke Salleh bagi "mendapatkan beberapa maklumat" dalam membantu menyelesaikan pendengaran mereka.
Pengerusi PAC Datuk Hasan Arifin berkata dengan keputusan itu, jawatankuasa itu kini menganjak jangkaan tarikh laporan mereka kerana khuatir tidak dapat disiapkan pada Mac.
"Saya harap dengan prosiding 2 orang ini kita boleh buat rumusan dan tidak memanggil sesiapa lagi selepas ini," katanya pada sidang media selepas sesi pendengaran di Parlimen hari ini.
Hasan berkata, tarikh pendengaran 2 personaliti itu akan ditentukan Setiausaha Dewan Rakyat Datuk Rosme Hamzah kemudian.
Ini bermakna, Shahrol akan muncul buat kali ketiga di hadapan PAC selepas kali terakhir berbuat demikian pada November 2015.
Shahrol merupakan antara mereka yang bertanggungjawab mengasaskan 1MDB dan beliau sebelum ini ditanya tentang usahasama kontroversi antara 1MDB dan PetroSaudi.
Usahasama itu didakwa menyalurkan AS$700 juta kepada syarikat Good Star Ltd yang didakwa dikawal ahli perniagaan Low Taek Jho.
Sementara itu, Hasan berkata, beliau berpuas hati dengan keterangan Pengerusi 1MDB Tan Sri Lodin Wok Kamaruddin hari ini.
"Dia memberi kerjasama baik kepada kita dan memberi (jawapan) kepada perkara yang ditanya," katanya.
No comments: