» » Bimbang desakan Mukhriz berundur ada agenda peribadi penyokong Najib Razak akibat pendedahan skandal RM2.6 bilion dan 1MDB


Tan Sri Muhyiddin Yassin melahirkan kebimbangannya jika tindakan ketua Umno Bahagian Kedah menyeru Menteri Besar Datuk Seri Mukhriz Mahathir digugurkan semalam dibuat atas kepentingan politik peribadi.

Menyifatkan Mukhriz seorang yang bersih dan disenangi, bekas timbalan perdana menteri itu berkata, jika pucuk pimpinan Umno menerima desakan tersebut, parti itu akan makin hilang kepercayaan rakyat dan meningkatkan krisis keyakinannya.

"Sekiranya desakan supaya Mukhriz disingkirkan daripada jawatan menteri besar dan ketua perhubungan Umno Kedah dibuat atas kepentingan politik peribadi pihak tertentu, dan bukannya atas kepentingan rakyat Kedah, maka ini amat malang bagi rakyat Kedah dan Umno yang sedang berdepan dengan krisis kepercayaan rakyat yang parah.

"Saya khuatir sekiranya desakan supaya Mukhriz berundur dilayan pucuk pimpinan parti, maka Umno akan semakin kehilangan hormat rakyat dan akan menghadapi cabaran semakin getir pada hari-hari yang mendatang," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Muhyiddin berkata, sebagai seorang menteri besar yang baru mentadbir kerajaan negeri untuk tempoh singkat, Mukhriz tentunya memerlukan sokongan semua pihak.

Terutamanya sokongan wakil rakyat dan pemimpin Umno Bahagian untuk memimpin badan perhubungan negeri dan mentadbir kerajaan negeri dengan berkesan, katanya.

"Saya percaya, Mukhriz sepatutnya diberikan peluang untuk terus memimpin kerajaan negeri Kedah.

"Apatah lagi beliau adalah seorang menteri besar yang bersih, disenangi rakyat dan tidak terpalit dengan sebarang tuduhan salah laku moral, pecah amanah dan rasuah yang boleh menjejaskan kepercayaan rakyat terhadap parti dan kerajaan negeri di bawah pimpinan beliau," kata timbalan presiden Umno itu.

Semalam, 14 ketua bahagian membuat kenyataan terbuka menentang kepimpinan Mukhriz, diketuai Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan Umno Kedah Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah.

Ahmad Bashah menyuarakan kehilangan keyakinan Umno Kedah terhadap menteri besar dan merayu Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak membuat perubahan segera kepada kepimpinan negeri.

Beliau disertai ketua-ketua bahagian di negeri itu yang juga mahu Mukhriz, yang memegang tampuk kepimpinan negeri sejak pilihan raya umum ke-13, berundur.

Muhyiddin berkata, tindakan pemimpin Umno bahagian itu amat mendukacitakan.

"Mukhriz adalah seorang pemimpin Umno yang berkaliber dan disenangi ahli parti dan rakyat.

"Malah, antara faktor kemenangan Barisan Nasional (BN) di negeri Kedah adalah ketokohan Mukhriz sebagai pemimpin pelapis Umno sehinggakan perdana menteri sendiri sewaktu kempen PRU13 menjanjikan Mukhriz sebagai MB Kedah sekiranya BN berjaya memenangi negeri itu," katanya.

Beliau melahirkan kebimbangan perpecahan di dalam Umno akan bertambah ketara dan parti akan menjadi semakin lemah dengan perkembangan terbaru itu.

"Saya amat kesal dalam keadaan rakyat dan negara berdepan dengan pelbagai cabaran ekonomi yang cukup getir serta keyakinan rakyat terhadap kepimpinan kerajaan BN semakin terhakis, rakyat khususnya di negeri Kedah dibebankan lagi dengan krisis politik yang jelik dan memalukan.

"Krisis yang melanda Umno negeri Kedah mesti diselesaikan secara penuh hikmah dan berhemah dengan meletakkan kepentingan rakyat dan parti mengatasi kepentingan peribadi," kata Muhyiddin.

sumber


About Izikit

«
Next
Newer Post
»
Previous
Older Post

No comments:

Leave a Reply

Komen apa saja , cuma anda bertangggungjawab sepenuhnya atas komen anda sendiri .