Bekalan air masih dalam keadaan terkawal walaupun negara sedang berdepan cuaca panas berikutan fenomena El Nino yang dijangka berterusan sehingga Mac depan.
Ketua Pegawai Eksekutif Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (Span) Datuk Mohd Ridhuan Ismail berkata sehingga kini paras air di empangan utama khususnya di Lembah Klang berada pada paras 90%.
"Hanya 2 empangan air di Johor iaitu Empangan Upper Layang dan Empangan Sungai Lebam yang mempunyai simpanan air yang agak rendah iaitu pada paras 30%.
"Empangan Gemencheh di Negeri Sembilan pula mempunyai paras simpanan air yang rendah," katanya di Kuala Lumpur, hari ini.
Ridhuan berkata pihaknya menasihatkan pengguna menggunakan air dengan berhemah kerana fenomena El Nino ini akan menjurus ke paras puncak Februari atau Mac depan.
Jelasnya lagi, Span sentiasa bekerjasama dengan operator di seluruh negara untuk memantau kedudukan sumber air di empangan dan sungai yang membekalkan sumber air mentah ke loji rawatan air.
Ditanya mengenai kebarangkalian berlakunya catuan air berjadual seperti yang berlaku pada tahun lepas, beliau berkata berdasarkan situasi semasa, masih tidak ada keperluan untuk melaksanakan catuan air berjadual.
"Punca air sebenarnya bergantung kepada kuasa kerajaan negeri, apa-apa cadangan untuk mengadakan catuan berjadual ini perlu dikemukakan kepada Span untuk mendapatkan kelulusan.
"Jadi cadangan kita kepada operator bekalan air supaya memantau lebih rapi, saya rasa kalau ada catuan kita menasihatkan operator ini memberikan notis lebih awal kepada Span," katanya.
sumber
No comments: