Affin Hwang Capital menjangkakan kerajaan akan mengurangkan perbelanjaan mengurus sebanyak RM4.4 bilion kepada RM210.8 bilion mengikut pengubahsuaian Bajet 2016 berbanding RM215.2 bilion yang dibentangkan sebelum ini.
Perbelanjaan pembangunan pula dijangka dikurangkan sebanyak RM1.0 bilion kepada RM49 bilion daripada RM50 bilion dalam bajet sebelum ini, khususnya bagi projek-projek bukan keutamaan, kata kumpulan pelaburan perbankan itu dalam satu nota, hari ini.
Bagaimanapun, perbelanjaan bagi projek (infrastuktur) seperti Mass Rapid Transit (MRT) dan Lebuhraya Pan Borneo, dijangka akan diteruskan mengikut jadual bagi mengekalkan pertumbuhan ekonomi negara.
Bajet 2016 yang diubahsuai bagi memaparkan persekitaran semasa seperti impak kejatuhan mendadak harga minyak mentah global, akan dibentangkan pada 28 Januari, 2016.
Ia diunjur mengetengahkan pelbagai langkah kerajaan untuk mengurangkan perbelanjaan bagi menampung penyusutan hasil pendapatannya.
Affin Hwang Capital berkata, kerajaan juga berkemungkinan besar menyemak turun andaian harga minyak mentah kepada AS$30 setong bagi 2016 berbanding AS$48 setong sebelum ini, selaras dengan penilaian oleh Petronas.
"Tanpa sebarang pendekatan fiskal seperti mengurangkan perbelanjaan mengurus dan pembangunan, sasaran defisit belanjawan Malaysia berkemungkinan meningkat kepada 3.6% daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) tahun ini berbanding unjuran awal 3.1% (daripada KDNK)," katanya.
Affin Hwang Capital menjangkakan, lebihan mengurus itu akan kekal pada RM9.4 bilion pada 2016 berbanding unjuran awal bajet sebanyak RM10.4 bilion.
Kerajaan juga, katanya, berkemungkinan akan mengekalkan defisit bajet sebanyak RM38.8 bilion atau 3.1% daripada KDNK manakala unjuran pertumbuhan KDNK sebenar dalam julat antara 4.0 dan 5%.
sumber
No comments: