Meskipun Kementerian Dalam Negeri (KDN) membenarkan hanya pengawal keselamatan asing warga Nepal berkhidmat, masih ada syarikat kawalan keselamatan berdegil dan terus menggunakan warga lain.
Mereka dipercayai berbuat demikian untuk mengaut keuntungan lebih, menurut lapor eksklusif akhbar Berita Harian hari ini.
Persatuan Perkhidmatan Kawalan Keselamatan Malaysia (PPKKM) mendakwa, terdapat sekurang-kurangnya 40,000 pengawal keselamatan warga asing bekerja secara haram di negara ini.
Presidennya, Datuk Seri Mustapa Ali berkata, banyak syarikat kawalan keselamatan tidak mematuhi peraturan KDN berhubung penggunaan khidmat warga asing sebagai pekerjanya.
Katanya, berdasarkan rekod KDN, sehingga November lalu, jumlah pengawal keselamatan rakyat tempatan diluluskan dan berdaftar dengan kementerian ialah 168,000 orang.
Jumlah itu ditambah dengan 28,000 warga Nepal diluluskan berkhidmat sebagai pengawal keselamatan.
"Bagaimanapun, selain daripada jumlah itu (196,000), pemantauan persatuan mendapati, sekurang-kurangnya 40,000 warga asing sama ada dari Pakistan, India, Bangladesh atau Nepal, bekerja secara haram," beliau dipetik berkata.
Namun, beliau enggan mendedahkan butir terperinci mengenai jumlah pengawal keselamatan haram itu kerana isu kerahsiaan, tetapi mengakui maklumat itu dikongsi bersama persatuan dan petugas KDN.
Mustapa berkata, pasukan khas dianggotai KDN, polis, Jabatan Imigresen dan PPKKM sudah ditubuhkan bagi membanteras kegiatan pengambilan pengawal keselamatan haram itu.
Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, ketika menjawab soalan di Dewan Rakyat pada 26 Mei lalu berkata, secara rasmi seramai 44,174 pengawal keselamatan warga asing bekerja di negara ini.
Beliau juga menegaskan kerajaan hanya membenarkan pengawal keselamatan asing dari Nepal di negara ini.
Selain isu pengawal keselamatan warga asing, katanya, ada juga syarikat persendirian atau pengurusan kawasan kediaman mengambil pengawal keselamatan warga asing secara sendiri tanpa melalui syarikat kawalan keselamatan yang berlesen.
Tindakan mereka ini, kata Mustapa, selain salah di sisi undang-undang, juga membahayakan keselamatan orang ramai.
"Ada kemungkinan pengawal keselamatan asing yang diambil mempunyai rekod jenayah dan lebih teruk jika berlaku kejadian yang tidak diingini yang mana ini ditapis oleh syarikat keselamatan berlesen," katanya.
Sementara itu, tinjauan akhbar itu sekitar Lembah Klang mendapati masih ada lokasi yang menggunakan khidmat warga asing selain Nepal sebagai pengawal keselamatan.
Antaranya, kawasan perumahan, kilang dan kedai, termasuk kedai emas.
sumber
No comments: