Jumlah kutipan bayaran balik pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) kalangan penjawat awam meningkat kepada 20% selepas pelaksanaan potongan gaji mandatori baru-baru ini.
Ketua Pegawai Pemasaran dan Komunikasi Strategik PTPTN, Mastura Mohd Khalid berkata setakat 20 Oktober tahun lalu, hanya 9% peminjam di kalangan penjawat awam yang membuat pembayaran balik pinjaman mereka.
"Setelah pelaksanaan potongan gaji mandatori baru-baru ini, sehingga 4 Januari tahun ini, pihak PTPTN menyaksikan peningkatan pembayaran balik sebanyak 20%," katanya kepada Bernama selepas menjadi tetamu program Dalam Radar terbitan Bernama Radio24 malam tadi.
Beliau berkata pada Disember lepas, PTPTN berjaya mengutip lebih RM133 juta, meningkat sebanyak 38% dari bulan sebelumnya.
"Kita berharap perkembangan ini akan menjadi satu titik permulaan yang baru bagi peminjam untuk membuat bayaran balik secara konsisten," katanya.
Mastura berkata PTPTN sudah lama memperkenalkan bayaran balik melalui potongan gaji, tetapi tidak ramai yang membuat pilihan tersebut.
"Pelbagai kaedah boleh diambil oleh peminjam, antaranya, peminjam yang terlibat boleh membuat penstrukturan semula hutang dengan jumlah ansuran berasaskan kemampuan bagi tempoh tidak melebihi umur 60 tahun," katanya.
Beliau berkata pelaksanaan potongan gaji mandatori itu juga antara langkah terakhir apabila peminjam didapati gagal melakukan pembayaran balik menerusi pelbagai kaedah lain.
"Potongan mandatori hanya dibuat kepada mereka yang tidak pernah membuat bayaran balik. Mereka ini diberi tempoh membayar balik antara 10 hingga 15 tahun, tetapi tidak pernah membayar pinjaman tersebut.
"Apabila tinggal tempoh hanya setahun sahaja perlu menjelaskan hutang dengan PTPTN, inilah menyebabkan pinjaman yang terpaksa dibayar balik tinggi," katanya.
sumber
No comments: