Calon gabenor Bank Negara Malaysia (BNM) menggantikan Tan Sri Dr Zeti Akhtar Aziz hendaklah dilantik dari kalangan tokoh yang diiktiraf di peringkat antarabangsa dan berwibawa tinggi dalam sektor perbankan negara, kata pegawai kanan sebuah bank pelaburan tempatan dipetik Utusan Malaysia hari ini.
Datuk Dr Nazri Khan, naib presiden Affin Hwang Investment Bank dan ketua penyelidikan runcit bank itu, berkata pengganti Zeti juga tidak sepatutnya seorang ahli politik kerana adalah lebih baik sekiranya calon itu tidak dipengaruhi sentimen politik.
Calon akan datang sebaliknya perlu bebas dan profesional menjalankan tanggungjawabnya sebagai gabenor BNM bagi mengelakkan ia memberi kesan kepada keyakinan pelabur, katanya.
"Bagi saya, beliau (Zeti) menjalankan tugasnya dengan baik dan pastinya jika ditanya kepada orang industri dan keadaan ekonomi sekarang, jawatan berkenaan harus dikekalkan.
"Tetapi, saya yakin kita mempunyai ramai calon yang bersesuaian," katanya kepada akhbar milik Umno itu, mengulas desas-desus pengganti Zeti selepas kontrak beliau dijangka tamat April ini.
Sementara itu, Dr Azmi Hassan, geostrategis Institut Geospatial dan Sekolah Perdana Universiti Teknologi Malaysia (UTM), berpendapat, secara dasarnya negara tidak ketandusan calon bagi memegang jawatan penting tersebut.
Namun, bakal calon itu perlu berwibawa dan berkebolehan meneruskan dasar kewangan negara sedia ada.
"Saya berharap dalam isu pelantikan gabenor BNM ini, tiada sebarang elemen ‘kejutan’, kerana tidak mahu ia memberi kesan mendadak kepada ekonomi negara memandangkan sebarang keputusan yang dibuat gabenor adalah penting.
"Dan untuk itu, kita tidak perlukan perubahan drastik,” Azmi dipetik berkata.
Sementara itu, pasaran terus dijangka kekal lemah pada separuh pertama tahun ini ekoran beberapa faktor yang turut dipengaruhi berita tentang pengganti gabenor BNM.
Penganalisis HLIB Research, Sia Ket Ee berkata, berita tersebut berlaku ketika pasaran tenaga global masih bergelut dengan situasi lebihan bekalan minyak dan pelabur yang masih tertunggu-tunggu kenaikan kadar faedah seterusnya oleh Rizab Persekutuan Amerika Syarikat.
Di samping itu, katanya, China yang terus memperhalusi model pertumbuhannya juga memberi kesan kepada ekonomi global yang menyaksikan pertumbuhan dijangka kembali pulih pada kadar 3.4%.
"Dengan senario berkenaan, keluaran dalam negara kasar (KDNK) Malaysia akan berkembang perlahan pada 4.5% tahun ini, kesan daripada perbelanjaan pengguna yang lemah dengan BNM dijangka mengekalkan kadar dasar semalaman (OPR) pada 3.25% tahun ini.
"Tetapi kita akan menyaksikan separuh kedua 2016 yang lebih baik didorong dengan pelantikan gabenor baharu selepas April, pasaran minyak yang lebih dinamik, impak cukai barang dan perkhidmatan (GST) yang stabil membantu pemulihan ringgit kepada RM3.80 dan RM4.00 dan pada masa sama meningkatkan semula keyakinan pelabur," katanya dalam nota kajian hari ini.
Bloomberg dalam laporannya menyatakan, tahun 2016 bakal menyaksikan perubahan dalam kalangan ketua bank pusat Asia ketika ekonomi serantau masih mengalami ketidaktentuan.
Pada 2013, Zeti diletakkan dalam ranking Gred A sebagai antara gabenor bank pusat terkemuka buat kali ke-10 oleh majalah Global Finance.
Zeti berkhidmat dengan BNM selama 35 tahun dan memegang jawatan gabenor sejak 2000.
sumber
No comments: