Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Shahidan Kassim menolak dakwaan pembangkang yang melabelkan Datuk Seri Najib Razak sebagai diktator kerana mahu melaksanakan Rang Undang-Undang (RUU) Majlis Keselamatan Negara (MKN).
Ketika membentangkan RUU di Dewan Negara bagi bacaan ke-2 Shahidan berkata, kuasa mengisytiharkan darurat masih lagi terletak kepada Yang Di Pertuan Agong.
"Kuasa diberikan MKN tidak menjadikan perdana menteri sebagai diktator kerana kuasa mengisytihar darurat masih kekal kepada Agong," katanya di Dewan Negara hari ini.
Ahli Parlimen Arau itu berkata, tuduhan Najib sebagai diktator adalah tidak berasas dan tidak benar sama sekali kerana kuasa yang ada pada perdana menteri melalui MKN adalah lebih terhad.
Katanya di bawah undang- undang MKN, pengisytiharan darurat akan diputuskan MKN dan bukannya berdasarkan keputusan individu.
Katanya, pengisytiharan darurat dilakukan Najib lebih berskala kecil berbanding Agong.
"Pengistiharan darurat perdana menteri adalah lebih kepada kawasan keselamatan melibatkan bencana dan bukannya darurat berskala besar.
"Ini bermaksud pengisytiharan perdana menteri adalah lebih rendah daripada darurat Agong," katanya.
Parti pembangkang, aktivis, Majlis Peguam dan kumpulan antarabangsa Human Rights Watch, sebelum ini mengkritik undang-undang dicadangkan itu, yang memberikan perdana menteri "kuasa ala darurat".
Mereka berkata kuasa sebegitu sepatutnya hanya terletak di tangan Yang di-Pertuan Agong sebagaimana termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.
Rang undang-undang kontroversi yang membenarkan sebuah majlis diketuai perdana menteri mengisytiharkan kawasan keselamatan dan menjalankan tangkapan, carian dan rampasan tanpa waran itu dibawa ke Dewan Negara pada persidangan kali ini yang berlangsung sehingga 22 Disember.
Kempen #TakNakDiktator terhadap rang undang-undang itu dimulakan kumpulan pejuang hak dan masyarakat sivil, termasuk Amnesty International Malaysia, Lawyers for Liberty, Suara Rakyat Malaysia dan Pertubuhan Kebangsaan Hak Asasi Manusia.
Lebih 22,000 penyokong menandatangani petisyen itu di laman web change.org menggesa Dewan Negara menggunakan kuasa vetonya ke atas rang undang-undang itu.
Terdapat juga individu yang menulis surat atau emel secara peribadi kepada senator, meminta mereka menolak rang undang-undang itu.
sumber
No comments: