» » Pelukis ‘rakam’ sikap ahli politik Malaysia dalam buku mewarna


Semasa kontroversi melingkari firma pelaburan Putrajaya 1Malaysia Development Bhd (1MDB) awal tahun ini, seorang artis turut sibuk berkarya.

Bermula dengan karikatur pemimpin tertinggi negara Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak, pereka grafik Fahmi Reza, 38, berpaling arah pula kepada bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.

Najib diberi huruf "K" untuk "Koruptor", manakala Dr Mahathir diberi "D" untuk "diktator".

Fahmi melukis kedua-dua tokoh ini sebagai lakaran dalam buku mewarna dan berkongsinya dalam talian bagi tatapan rakan Facebook.

Tetapi populariti besar yang diterima di media sosial melahirkan idea baharu – mengapa tidak membuat buku warna lengkap ilustrasi A-Z ahli politik Malaysia?

Pada Ogos, buku mewarna ABC Politikus Malaysia mula dijual naskhah bertujuan memperlihatkan kemustahilan dan kemunafikan ahli politik Malaysia kerajaan dan pembangkang. – Gambar ihsan Fahmi Reza, 22 Disember, 2015.

Itu adalah pada Jun, dan pada Ogos, buku mewarna "ABC Politikus Malaysia" mula dijual dengan 500 naskhah bertujuan memperlihatkan "kemustahilan dan kemunafikan" ahli politik Malaysia daripada kedua-dua

Kerajaan dan pembangkang, kata Fahmi yang juga seorang aktivis sosial dan terkenal dengan dokumentari sejarah beliau "10 Tahun Sebelum Merdeka".

"Semuanya bermula dengan satu ilustrasi yang saya dipaparkan di Facebook pada 23 Jun, 2015 kerana saya mahu mengulas mengenai skandal 1MDB dan dakwaan penglibatan perdana menteri kita dalam kontroversi.

"Dan sebagai pereka grafik, saya lebih cenderung berkongsi komentar saya secara visual melalui poster politik dan ilustrasi yang menyindir.

"Saya mereka ilustrasi untuk membuat ia kelihatan seperti datang daripada imaginasi buku mewarna ABC. Ia mempunyai lukisan menyindir Najib bersama kapsyen ‘Mari mewarna ABC! K untuk koruptor’," katanya kepada The Malaysian Insider dalam satu temubual melalui emel baru-baru ini.

Dengan sumber sebanyak RM5,775 daripada Pozible, sebuah laman sesawang yang membiayai kerja kreatif, Fahmi mencetak 500 naskhah buku mewarna dengan wang berjaya dikumpulkan dalam masa kurang 3 hari.

Setiap karikatur di dalam buku mewarna disertai abjad dan perkataan.

Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng DAP diberikan "H" untuk "hipokrit", Ketua Pembangkang dan Presiden PKR Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail adalah "N" untuk "nepotis", manakala Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang "T" untuk "Tuhan".

Fahmi berkata beliau melukis ahli politik daripada Barisan Nasional dan pembangkang kerana berasa semua ahli politik "tidak boleh dipercayai".

"Jika ada mesej tertentu (dalam buku ini), ia akan menjadi, jangan percaya kepada ahli politik, tidak kira apa parti mereka, tidak kira betapa hebatnya mereka mungkin kelihatan.

"Mesej lain ialah perbezaan pendapat dan ingkar penting dalam demokrasi. Terutamanya yang menderhaka kepada pemimpin korup dan politikus," katanya menggunakan slanga bagi ahli politik.


"Mengapa kita perlu taat kepada politikus ini? Kita meletakkan mereka di sana, mereka adalah orang yang harus mentaati kita, rakyat," kata Fahmi yang juga tokoh utama gerakan Occupy Dataran di Kuala Lumpur.

Beliau baru-baru ini memenangi RM38,000 sebagai ganti rugi, pampasan dan kos penahanan salah Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) di mana para pegawainya menahannya pada 22 April, 2012 manakala beliau dan penunjuk perasaan pelajar lain berkhemah di Dataran Merdeka bagi reformasi pendidikan tinggi.

Fahmi berkata, beliau akan menderma setiap sen dimenangi kepada dana aktivis dan pergerakan protes.

Tidak takut

Artis grafik ini berkata tidak takut kemungkinan akibat yang akan diterima daripada buku mewarna itu dan mengatakan "sudah biasa diharamkan" dan pernah ditangkap sebelum ini, menghabiskan beberapa jam di penjara kerana seni.

"Kita kini hidup dalam masa di mana politik kita adalah satu sandiwara, penuh dengan kepura-puraan dan kemustahilan. Negara kita dijajah orang bodoh dan tidak jujur," katanya.

Beliau memilih perkataan digunakan untuk menggambarkan setiap ahli politik berdasarkan kepada maklum balas rakyat bagi karikatur yang tersiar di Facebook dan menambah, beliau menerima purata 100 komen untuk setiap lukisan.

Hadi dan bekas ketua menteri Sarawak Tun Abdul Taib Mahmud, yang diberikan "R" untuk "rakus" merupakan ahli politik yang menerima paling banyak cadangan iaitu 180 dan 220.

"Bagi ‘T untuk tuhan’, saya melukis Hadi Awang menyamar seperti salah satu patung dewa Yunani dengan jari ke bibirnya memberitahu orang supaya diam dan tidak mempersoalkan pihak berkuasa," katanya.

Fahmi mengambil masa sebulan untuk menyiapkan satu set yang terdiri daripada 26 ilustrasi A ke Z.

Semua 500 naskhah habis terjual dalam tempoh 2 minggu pada Ogos dengan harga RM15 setiap satu atau RM20 termasuk kos penghantaran.

"Saya rasa sambutan yang amat menggalakkan menunjukkan buku mewarna, merakam keadaan masa itu.

"Rakyat sudah bosan dengan sistem politik kita yang amat berpola terhadap 2 parti, dengan semua politik agresif daripada semua pihak, pertelingkahan kebudak-budakan di Parlimen, media menjana kontroversi dan segala yang mengarut yang kita terpaksa telan setiap hari,” katanya.

Malah, Fahmi berkata beliau berharap terdapat lebih daripada 26 huruf dalam abjad kerana tidak mencukupi untuk menampung semua "ahli politik (mengarut)" Malaysia pada masa ini.

Reaksi ahli politik

Karikatur itu menerima maklum balas bercampur-campur daripada beberapa ahli politik, dengan bekas menteri domestik perdagangan, koperasi dan kepenggunaan, Datuk Seri Hasan Malek menggambarkan kerja Fahmi pada tahap yang baik dan terperinci kerana turut teliti pada tahi lalat di dagunya.

"Artis yang kompeten, ia sangat kreatif dan baik. Cuma saya tidak tahu sama ada saya intelek atau tidak," kata Hasan yang dilabel "I" untuk "ilmuwan".

Ahli politik DAP Teresa Kok berkata karikaturnya tidak adil kerana kelihatan hodoh.

"Saya tidak tahu apa yang hendak dikatakan. Saya mendapati kartun saya kelihatan begitu hodoh," kata Ahli Parlimen Seputeh, yang dilabel huruf "Q "untuk" quek".

Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Ahmad Maslan sementara itu, mengetepikan karikatur dengan berkata beliau sudah biasa menerima kritikan di media sosial dan “kebal” kepada kutukan asalkan apa yang dilakukan adalah berdasarkan kebenaran.

"Saya membantu untuk menjelaskan GST (cukai barangan dan perkhidmatan). Saya dikritik kerana itu. Lapan bulan selepas ia dilaksanakan, GST bertukar menjadi penyelamat ekonomi negara," katanya merujuk kepada hasil kerajaan diperoleh dengan cukai semasa penurunan pendapatan daripada hasil petroleum.

"Apa yang kartunis selamatkan?"

Ahmad yang sebelum ini timbalan menteri kewangan sering menjadi sindiran pengguna media sosial kerana kenyataannya mempertahankan GST. Dalam buku mewarna, beliau dilabelkan "B" untuk "badut".

Percubaan The Malaysian Insider mendapatkan reaksi daripada ahli politik lain yang dipaparkan seperti Rafizi Ramli ("J" untuk "jambu" atau comel), Presiden Perkasa Datuk Ibrahim Ali ("C" untuk "cauvinis"), Presiden Parti Amanah Negara Mohamad Sabu "(Y" untuk "yolo"), bekas presiden MIC Datuk Seri S Samy Vellu ("A" untuk "aiyoyo"), Nasruddin Hassan ("V" untuk "vellfire”) dan Khairy Jamaluddin ("O"untuk "oportunis") tidak berjaya.


Fahmi berkata lukisannya bertujuan menyindir, lucu dan harus dilihat sebagai satu bentuk kritikan sosial terhadap mereka yang berkuasa.

"Kata-kata yang dipilih mewakili persepsi umum mengenai ahli politik dari sudut pandangan rakyat, sebahagian besarnya berdasarkan apa yang mereka baca tentang orang politik dalam media (massa dan sosial).

"Sama ada betul atau tidak ia menggambarkan setiap ahli politik adalah untuk penonton berfikir dan membuat keputusan bagi diri mereka sendiri," katanya sambil menambah beliau merancang membuat salinan digital buku mewarna untuk muat turun percuma bagi yang terlepas edisi bercetak terhad.

Fahmi berkata ia cara beliau meningkatkan kesedaran mengenai isu yang beliau ambil berat dan sebagai alat bagi mendesak perubahan di Malaysia.

"Tiada apa yang lebih daripada itu. Saya tidak melakukannya sebagai sebahagian daripada mana-mana projek atau membuat wang,” katanya.

sumber


About Izikit

«
Next
Newer Post
»
Previous
Older Post

No comments:

Leave a Reply

Komen apa saja , cuma anda bertangggungjawab sepenuhnya atas komen anda sendiri .