Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini mengarahkan Pengarah National Oversight and Whistleblowers (NOW) Akmal Nasir memfailkan pernyataan pembelaan terhadap saman fitnah yang dikemukakan Datuk Seri Jamil Khir Baharom, pada 28 Disember ini.
Ia berhubung dakwaan kononnya Jamil Khir, yang juga menteri di Jabatan Perdana Menteri, menggunakan wang Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (Yapeim) bagi membiayai perjalanan ke luar negara.
Peguam Adnan Seman yang mewakili Jamil Khir memberitahu pemberita, Timbalan Pendaftar Hurman Hussain turut mengarahkan pihaknya selaku plaintif memfailkan jawapan kepada pernyataan pembelaan itu pada 11 Januari depan.
Katanya, mahkamah kemudian menetapkan 12 Januari untuk pengurusan kes.
Pada 19 November lepas, Jamil Khir memfailkan saman itu dengan menamakan Akmal atau nama sebenarnya Akmal Nasrullah Mohd Nasir selaku defendan.
Menerusi pernyataan tuntutan itu, Jamil Khir mendakwa Akmal memfitnahnya ketika memberi kenyataan kepada media dan di laman web menggunakan nama NOW pada 13 November lepas.
Jamil Khir mendakwa antara kata fitnah itu adalah berkenaan pembiayaan perjalanan ke luar negara, bermain golf dan lawatan ke pusat beli-belah membabitkan kos antara RM410,978 hingga RM590,000.
Selain itu, Jamil Khir mendakwa Akmal menerbitkan kata fitnah itu tanpa pengesahan terlebih dulu hingga ia membawa maksud beliau seolah-olah tidak amanah, ahli politik yang menyeleweng dana anak yatim serta menyalah guna kuasa.
Beliau mendakwa Akmal berbuat demikian bagi menjatuhkan maruahnya dan menanam kebencian rakyat bagi meraih sokongan politik kepada parti PKR.
Pada 16 November lepas, peguamcara yang mewakilinya menghantar surat tuntutan kepada defendan bagi meminta permohonan maaf, menarik balik kata fitnah tersebut serta membayar ganti rugi RM10 juta, namun defendan enggan melakukannya.
Berikutan dakwaan itu, Jamil Khir menuntut perintah injunksi dikeluarkan bagi menghalang defendan mengeluarkan kenyataan fitnah terhadapnya, ganti rugi am, ganti rugi teruk serta permohonan maaf dalam cara dan bentuk yang diluluskannya sendiri.
sumber
No comments: