Persatuan Gerakan Kebangkitan Pendidik Kebangsaan (PENDIDIK) menyambut baik langkah Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) yang bersedia untuk mempertemukan semula pasangan warga pendidik yang selama ini lama berjauhan dengan keluarga dan anak-anak tercinta.
Seramai hampir 30,000 guru tinggal berjauhan dari keluarga dan pasangan masing-masing. Sepatutnya kerajaan telah lama mengambil tindakan agar guru yang banyak berjasa ini tidak hidup dalam keadaan tertekan perasaan.
Tekanan akibat menanggung kerinduan ini boleh mengundang pelbagai implikasi negatif terhadap institusi perkahwinan dan kekeluargaan .
Sebagai contoh, guru wanita yang berjauhan dari suami berisiko mendapat gangguan emosi, kesihatan dan keselamatan, terutama apabila tinggal berseorangan.
Emosi anak-anak juga mungkin terganggu dan manakala si pendidik tertekan kerana berjauhan dengan pasangan masing-masing.
Isu guru yang duka lara ini menjadi tumpuan beberapa minggu lalu oleh Menteri Pendidikan Datuk Seri Mahadzir Khalid. Diharapkan, ia bukan hanya retorik politik atau sekadar melepaskan batuk di tangga sahaja.
Isu penempatan guru harus diberi perhatian serius demi kesejahteraan keluarga pasangan guru yang selama ini terpisah jauh. Jika guru gembira, mereka akan bekerja dalam keadaan tenang dan emosi serta motivasi mereka tidak mudah diganggu oleh tekanan.
PENDIDIK berharap, pasangan guru yang tinggal berjauhan dapat didekatkan seberapa segera. Pasangan guru yang tinggal berdekatan pula janganlah dijauhkan atau ditukarkan hanya kerana perbezaan pendirian politik dengan Umno-BN.
Pendidik mendesak agar parti pemerintah menghormati hak warganegara Malaysia yang boleh memilih pertubuhan politik yang sah dan berdaftar di sisi undang-undang dan perlembagaan Malaysia.
Sejak hampir 60 tahun lamanya, ribuan warga pendidik yang berlainan ideologi politik dizalimi. Tindakan ini dibuat melalui arahan berpindah, ditahan kenaikan pangkat, atau diugut dengan surat pertuduhan.
Surat pertuduhan seperti ini yang mengakibatkan guru menjadi mangsa dendam politik melalui tindakan tatatertib buang kerja atau turun pangkat serta ditendang ke sana ke mari.
Golongan yang berjawatan dalam Umno di peringkat sekolah, PPD, JPN dan KPM menunjukkan keangkuhan kuasa dengan sengaja bersubahat menukarkan warga pendidik yang cemerlang.
Tindakan ini dibuat kerana mereka bersekongkol dan akur serta patuh kepada arahan pihak atasan yang merupakan orang politik, terutamanya menteri Umno dan BN.
Akhirnya, anak bangsa kita juga yang akan menanggung kerugian kerana kehilangan pendidik yang berdedikasi dan memiliki komitmen yang tinggi dalam menjalankan tugas.
Amat malang sekali apabila tindakan zalim ini dihalalkan melalui Akta Perintah Am. Mengapakah kerajaan sanggup mengenepikan pertimbangan kemanusiaan terhadap pasangan yang teraniaya' dan anak-anak yang tidak berdosa?
Ingatlah bahawa golongan yang bersekongkol dalam melakukan kezaliman kelak akan disambar oleh api neraka.
KPM mengumumkan seramai 1,848 orang guru diluluskan untuk bertukar. Jumlah ini hanyalah sebahagian kecil dari keseluruhan permohonan guru yang ada selama ini
Cukuplah dengan kezaliman dan tekanan yang dilakukan terhadap warga pendidik cemerlang. Golongan ini sejak sekian lama menjadi mangsa keangkuhan kuasa, habuan pangkat serta kedudukan segelintir individu serta pendtadbir organisasi dalam perkhidmatan pendidikan.
PNDIDIK menghargai dan menyanjung warga pendidik yang tetap menunjukkan dedikasi walau tinggal berjauhan dengan pasangan dan keluarga.
Masyarakat pendidik harus bangkit menyuarakan kebenaran dan merobohkan tembok kezaliman yang selama ini membelenggu jiwa dan minda pendidik.
No comments: