Kontroversi yang melanda 1MDB terus hangat walaupun api yang marak berjaya dikawal meskipun belum dipadamkan. Perhatian kini tertumpu kepada sebuah daripada rakan niaga syarikat pelaburan negara itu - Goldman Sachs.
Bukan suatu rahsia lagi bahawa Goldman Sachs menikmati hubungan kerjasama yang intim dengan 1MDB - khidmatnya terlibat dalam terbitan tiga bon pasaran asing 1MDB.
Walau bagaimanapun, hubungan itu menimbulkan persoalan kerana Goldman Sachs seolah-olah meraih apa yang kelihatan sebagai yuran yang sangat lumayan berhubung khidmatnya bagi terbitan bon berkenaan yang dikatakan jauh lebih tinggi dari kadar biasa.
KiniBiz mengupas isu itu dengan lebih teliti lagi dalam artikel ini.
Pada Oktober lalu, Reuters melaporkan Biro Penyiasatan Persekutuan (FBI) Amerika Syarikat kini mengkaji hubungan perniagaan firma itu dengan 1MDB sebagai sebahagian daripada siasatan yang lebih luas ke atas Goldman Sachs.
Pada November lalu, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) turut melawat pejabat firma itu di Kuala Lumpur dalam siasatan dalaman ke atas 1MDB.
Ini menimbulkan spekulasi siasatan global yang lebih luas merentasi tiga benua mengenai kemungkinan wujudnya aktiviti pengubahan wang haram yang membabitkan 1MDB.
Walau bagaimanapun, apabila pelbagai soalan dilemparkan ke atas urus niaga 1MDB yang diragui selama ini, perhatian orang ramai mungkin tidak terarah ke atas peranan yang dimainkan Goldman Sachs.
Dan peranan itu adak besar - daripada semua pinjaman berbeza 1MDB, Goldman Sachs telah melibatkan diri dalam mengatur saham tunggal terbesar sebanyak RM42 bilion atau lebih dalam jumlah pinjaman.
No comments: