» » Najib Razak mesti hadir di Parlimen untuk jelaskan skandal 1MDb dan RM2.6 bilion


Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak perlu hadir di Parlimen pada 16 November 2015 untuk memberi penjelasan penuh kepada wakil rakyat mengenai 1Malaysia Development Bhd (1MDB), sumbangan RM2.6 bilion yang diterimanya dan rombakan Kabinet, kata Lim Kit Siang.

Ketua Parlimen DAP itu berkata, tarikh tersebut merupakan hari terakhir penggulungan Bajet 2016 peringkat menteri dan ia akan menyediakan platform untuk Najib menjawab soalan ahli Parlimen pembangkang mengenai isu berkenaan.

Lim mendakwa, "pentas" kini tersedia apabila Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Azalina Othman Said berkata sebelum ini, kerajaan akan menerangkan mengenai sumbangan RM2.6 bilion itu pada 3 Disember, hari terakhir persidangan yang sedang berlangsung ketika ini.

"Saya menyeru kepada Najib supaya menunjukkan lebih hormat kepada tradisi, konvensyen, prosedur dan amalan Parlimen berbanding menteri yang bertanggungjawab hal ehwal Parlimen, dan tidak membiarkan jadual dibuat Azalina yang tidak mengikut peraturan Parlimen.

"Sebaliknya, beliau (Najib) perlu berada di Parlimen untuk menjawab ucapan ahli Parlimen mengenai dua skandal besar iaitu 1MDB dan 'derma' RM2.6 bilion pada hari terakhir menteri membuat penggulungan pada 16 November," kata Lim.

"Najib perlu jelaskan apa yang beliau hendak sembunyikan hingga beliau tidak berani datang ke Parlimen untuk memberikan pertanggungjawaban penuh berhubung dua skandal besar itu," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Lim, yang kini digantung daripada menghadiri persidangan Dewan Rakyat kerana menghina Speaker Tan Sri Pandikar Amin Mulia berkata, Najib juga perlu menjelaskan sama ada Tan Sri Abdul Gani Patail dilucutkan sebagai peguam negara kerana beliau ketika itu hampir akan mendakwa perdana menteri atas tuduhan rasuah atau pecah amanah.

Lim berkata, kemunculan Gani di khalayak pada satu forum Selasa lalu, di mana beliau dilaporkan kelihatan bertenaga dan sihat, menimbulkan persoalan sama ada beliau sememangnya sakit memandangkan ia dikatakan punca beliau ditamatkan perkhidmatan 3 bulan sebelum tarikh bersara wajib.

Gani merupakan sebahagian daripada pasukan petugas peringkat tinggi yang sedang menyiasat wang RM2.6 bilion dalam akaun Najib.

Ahli Parlimen Gelang Patah itu juga menuduh pengerusi baharu Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC), Datuk Hasan Arifin tidak mempunyai kesegeraan atau keutamaan untuk melengkapkan siasatan 1MDB.

Beliau mempersoalkan mengapa PAC hanya memanggil Arul Kanda Kandasamy pada 1 Disember, walaupun presiden 1MDB itu kelihatan "sentiasa bersedia untuk mengadakan perbahasan pada bila-bila masa dengan Tony Pua".

Lim juga menuduh Hasan "berlembut" terhadap Low Taek Jho, selepas beliau berkata PAC tidak boleh memanggil ahli perniagaan itu kerana isu undang-undang.

"Saya menyeru Hasan supaya mempercepatkan tarikh pendengaran untuk Arul dan bekas ketua pegawai eksekutif dan pegawai tinggi 1MDB yang lain, serta memanggil Jho Low, supaya PAC boleh membentangkan laporannya mengenai siasatan 1MDB dan ia sempat dibahaskan di Parlimen sebelum persidangan ditangguhkan pada 3 Disember," kata Lim.



About Izikit

«
Next
Newer Post
»
Previous
Older Post

No comments:

Leave a Reply

Komen apa saja , cuma anda bertangggungjawab sepenuhnya atas komen anda sendiri .