» » Bomoh seks ditahan mengaku rogol gadis selama 2 hari berturut-turut


Seorang pengamal perubatan tradisional ditahan polis kerana disyaki merogol seorang gadis di rumah mangsa di Sungai Isap Perdana, Kuantan , di sini, kelmarin.

Suspek berusia 58 tahun yang terkenal dengan kebolehan mengubati penyakit secara tradisional itu ditahan di rumahnya di bandar ini tidak sampai 24 jam selepas mangsa membuat laporan berhubung perbuatan terkutuknya itu, Rabu lalu.

Pemangku Ketua Polis Daerah Kuantan Asisten Komisioner Othman Bakar berkata, mangsa berusia 20 tahun itu dipercayai dipukau bomoh tersebut sebelum dirogol sebanyak dua kali pada hari berasingan di dalam bilik yang sama.

Menurutnya, suspek datang ke rumah itu kira-kira jam 10 malam, Isnin lalu untuk mengubati ibu mangsa yang dipercayai mengalami gangguan akibat terkena buatan orang.

“Selepas sejam berubat, suspek meminta kebenaran ibu mangsa untuk masuk ke dalam sebuah bilik di tingkat atas rumah itu kononnya ingin berzikir.

“Pada masa yang sama, dia juga turut mengarahkan mangsa masuk ke dalam bilik itu bersendirian kononnya gadis itu juga perlu dirawat,” katanya ketika dihubungi di sini, semalam.

Othman berkata, mangsa mendakwa, sejurus dia masuk, lelaki itu seperti membaca sesuatu sebelum menghembuskan ke arah mukanya menyebabkan dia tidak sedar dan hanya menuruti arahan bomoh tersebut.

“Selepas memuaskan nafsunya, suspek keluar namun sempat berpesan kepada ibu mangsa dia akan datang semula keesokannya harinya kerana sesi pengubatannya masih belum selesai.

“Bomoh itu datang kembali ke rumah itu kira-kira 11 malam keesokan harinya untuk meneruskan sesi rawatan,” katanya.

Beliau berkata, suspek mengambil kesempatan masuk ke dalam bilik itu sekali lagi dengan alasan sama sebelum mengulangi perbuatan jijiknya terhadap mangsa.

Menurutnya, menyedari dirinya dirogol, mangsa kemudiannya membuat laporan polis kira-kira jam 6 pagi, Rabu lalu sebelum suspek berjaya dikesan dan ditahan beberapa jam kemudian.

“Berdasarkan semakan ke atas rekod lelaki itu, suspek didapati mempunyai rekod jenayah lampau mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan atas kesalahan mencuri malah hasil soal siasat dilakukan, suspek mengaku merogol gadis itu,” katanya.

Othman berkata, pihaknya masih menjalankan siasatan lanjut bagi mengenal pasti sama ada suspek ada memerangkap mangsa lain bagi tujuan melepaskan nafsunya menggunakan helah tersebut.

“Suspek kini direman selama seminggu sehingga 2 November depan manakala mangsa dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) untuk menjalani pemeriksaan,” katanya.



About Izikit

«
Next
Newer Post
»
Previous
Older Post

No comments:

Leave a Reply

Komen apa saja , cuma anda bertangggungjawab sepenuhnya atas komen anda sendiri .