PKR akan melancarkan inisiatif di laman sosial Facebook untuk memohon warga maya membantu menjejaki jutawan kontroversi Low Taek Jho dan empat tokoh utama lain yang dikehendaki bagi membantu siasatan ke atas syarikat 1MDB - jika pihak berkuasa gagal mengesan mereka dalam dua minggu.
Ia merujuk kepada jawapan parlimen oleh Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi kepada ahli parlimen Kelana Jaya, Wong Chen bahawa tiada permohonan daripada mana-mana pihak untuk meminta bantuan Interpol bagi mengesan kelima-lima individu itu.
Wong berkata, Bank Negara Malaysia dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) harus dipersalahkan jika mereka tidak meminta pihak polis untuk mencari individu tersebut yang dikaitkan dengan siasatan mereka.
"Saya dengan ini meminta Gabenor Bank Negara Tan Sri Zeti Aktar Aziz dan Ketua Pesuruhjaya MAACC Tan Sri Abu Kassim Mohamed untuk segera memfailkan laporan meminta polis dan Interpol bagi mendapatkan mereka dalam membantu dalam siasatan kes 1MDB," katanya pada sidang akhbar di lobi Parlimen hari ini.
"Kegagalan untuk berbuat demikian dalam tempoh 24 jam akan dianggap sebagai pencabulan tugas fidusiari untuk menyiasat 1MDB tanpa rasa takut dan pilih kasih," kata Wong.
"Sekiranya kelima-lima individu itu tidak dikesan dalam tempoh dua minggu akan datang, PKR akan melancarkan inisiatif Facebook untuk meminta warga maya untuk membantu memuat-naikkan apa-apa penampilan berkaitan individu berkenaan," kata Wong (kiri).
Ahmad Zahid, yang juga Menteri Dalam Negeri dalam jawapan bertulis Parlimen berkata polis tidak mengesan Jho Low dan empat yang lain kerana tiada siasatan yang dibuat terhadap mereka.
Di samping itu, katanya, tiada permohonan yang diterima daripada mana-mana pihak untuk meminta bantuan Interpol mengesan penama-penama berkenaan.
Selain Jho Low, Wong Chen dalam soalannya meminta menteri dalam negeri menyatakan di manakah pengarah urusan bekas anak syarikat 1MDB SRC International Nik Faisal Ariff Kamil, Pengurus Deutsche Bank Yusof Annuar Yaacob, Casey Tang dari Lembaga Pelaburan Terengganu (TIA) yang kemudiannya dinamakan sebagai 1MDB dan beklas pengarah eksekutif di UBG, Jasmine Loo.
No comments: