» » Interpol tidak boleh cari 5 individu berkait skandal 1MDB kerana polis Malaysia tidak mulakan sebarang siasatan terhadap mereka


Interpol tidak boleh mencari 5 individu yang dikaitkan dengan 1Malaysia Development Berhad (1MDB), kata Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, hari ini.

Ini kerana polis tidak memulakan sebarang siasatan terhadap ahli perniagaan Low Taek Jho, bekas eksekutif 1MDB Casey Tang dan Jasmine Loo, dan Pengarah Urusan SRC International Nik Faisal Ariff Kamil serta pengurus negara Deutsche Bank Yusof Annuar Yaacob.

“Interpol tidak boleh mengesan dan mengenal pasti lokasi individu berkenaan sekarang memandangkan tiada siasatan dimulakan polis terhadap mereka.

“Tambahan pula, tidak ada permohonan diterima daripada mana-mana pihak meminta Interpol mengesan 5 nama berkenaan,” kata Zahid yang juga timbalan perdana menteri, dalam satu jawapan bertulis kepada Wong Chen (PKR-Kelana Jaya) di Dewan Rakyat, hari ini.

Low, atau lebih popular dengan nama Jho Low, membantu menubuhkan Terengganu Investment Authority (TIA), pelopor kepada 1MDB, dan sering dikaitkan dengan urus niaga 1MDB walaupun beliau menafikannya berulang kali.

Tang dan Loo berada dalam senarai individu dikehendaki Bank Negara Malaysia (BNM) untuk membantu siasatan berhubung Akta Kawalan Pertukaran Wang 1953.

Tang ialah bekas pengarah eksekutif 1MDB dan didakwa bekerjasama dengan taikun Low dan eksekutif tertinggi PetroSaudi International untuk penyerahan nota murabahah bernilai AS$500 juta.

Akhbar perniagaan The Edge Weekly melaporkan sebelum ini, kira-kira AS$260 juta daripada wang itu dari 1MDB digunakan oleh Low untuk membeli UBG Bhd.

Loo ialah bekas pengarah eksekutif bahagian undang-undang dan pematuhan di UBG. Beliau berada dalam lembaga pengarah UBG pada masa sama dengan Low, yang juga penasihat kepada UBG.

Sementara itu, Nik Faisal ialah bekas pengarah urusan SRC International, syarikat yang pernah menjadi anak syarikat 1MDB.

Beliau juga pernah menjadi ketua pegawai pelaburan di 1MDB, selain menjadi sekutu rapat dengan Low.

Yusof Annuar pula sebelum ini ialah pengerusi dan pengarah urusan Goldman Sachs Malaysia.

Bank Amerika itu mengatur penjualan RM17.1 bilion bon dalam 2 bahagian pada 2012/2013.

Peguam Negara Tan Sri Mohamed Apandli Ali ketika ditemubual The Malaysian Insider berkata Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sudah menyoal siasat Nik Faisal dan seorang lagi pengarah SRC International, Datuk Suboh Md Yassin.

Bagaimanapun Ketua Pesuruhjaya SPRM Tan Sri Abu Kassim Mohamed berkata siasatan terhadap SCR hanya dapat disiapkan penghujung tahun ini jika ia dapat menemui 2 pengarahnya, yang dikatakan berada di luar negara.

sumber


About Izikit

«
Next
Newer Post
»
Previous
Older Post

No comments:

Leave a Reply

Komen apa saja , cuma anda bertangggungjawab sepenuhnya atas komen anda sendiri .