» » YAPEIM akan ambil tindakan undang-undang kepada NOW


Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (Yapeim) dan individu yang terjejas dengan dakwaan Pengarah Pusat Pemantauan dan Pendedahan Maklumat Kebangsaan (NOW) Akmal Nasir akan mengambil tindakan undang-undang dalam masa terdekat.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Yapeim Datuk Abibullah Samsudin berkata tuduhan dilemparkan Akmal yang juga Ketua Cabang Parti Keadilan Rakyat (PKR) Johor Bahru terhadap Yapeim adalah tidak berasas sama sekali, berunsur fitnah dan berniat jahat.

Beliau berkata Yapeim memandang serius segala pertuduhan yang dilemparkan Akmal kerana ia menyebabkan krisis keyakinan dalam kalangan penyumbang dan meletakkan institusi itu dalam pandangan umum yang buruk selain memberi kesan negatif dalam urusan perniagaan Yapeim.

"Tuduhan penyalahgunaan dan penyelewengan dana Amal Jariah (Skim Potongan Gaji) serta pembaziran adalah tuduhan berat yang berniat jahat dan bermotifkan politik.

"Lebih mendukacitakan ia diterima sebahagian masyarakat di dalam dan luar negara berdasarkan maklumat yang terkandung dalam dokumen dalaman Yapeim yang dicuri dan kemudiannya diputarbelitkan NOW," katanya hari ini.

Abibullah turut memohon kerjasama agensi penguatkuasaan bagi menyekat kegiatan NOW mencuri dokumen dalaman Yapeim dan seterusnya menyebarkan maklumat palsu serta memutarbelitkan fakta memfitnah Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom, Yapeim dan peneraju tertinggi yayasan berkenaan.

Beliau berkata Yapeim merupakan sebuah perbadanan yang tertakluk kepada Surat Ikatan Amanah yang berdaftar di bawah Akta Pemegang Amanah (Pemerbadanan) 1952 dan bukan sebuah badan kerajaan.

Katanya setakat 2014, Yapeim mengeluarkan sejumlah RM453 juta bagi program pembangunan sosioekonomi (amal jariah) dan dalam tempoh tersebut, sumbangan amal jariah melalui skim potongan gaji dan skim lain hanya berjumlah RM334 juta. RM118 juta pula adalah jumlah penambahan daripada Dana Perniagaan Yapeim.

"Atas sebab itu, tidak timbul sebarang isu kononnya Yapeim membayar elaun Presiden dan Timbalan Presiden menggunakan duit sumbangan amal jariah melalui skim potongan gaji. Segala pembayaran gaji, elaun dan keseluruhan kos operasi ditanggung sepenuhnya melalui dana daripada aktiviti perniagaan dan perkhidmatan yang dilaksanakan Yapeim," katanya.

Akmal sebelum ini dilapor mendakwa Presiden dan Timbalan Presiden Yapeim serta keluarganya menerima pendapatan keseluruhan sebanyak RM154,700 sebulan selain dakwaan Yapeim membelanjakan wang untuk kempen pilihan raya kecil di Parlimen Rompin.

Abibullah berkata Yapeim berjaya menjana pendapatan mencecah RM83 juta tahun ini daripada aktiviti Ar Rahnu yang merupakan program pembangunan ekonomi Islam paling berjaya melalui 202 cawangan seluruh negara.

Beliau berkata ia meningkat sebanyak RM11 juta berbanding RM72 juta pada 2014.

Berdasarkan laporan kewangan 2014, jumlah aset keseluruhan Yapeim berjumlah RM1.034 bilion.

About Izikit

«
Next
Newer Post
»
Previous
Older Post

No comments:

Leave a Reply

Komen apa saja , cuma anda bertangggungjawab sepenuhnya atas komen anda sendiri .