Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Zahid Hamidi berkata soalan Datuk Shamsul Anuar Nasarah (BN-Lenggong) berhubung tuduhan bahawa kerajaan menyalahgunakan Akta Kesalahan Keselamatan (Sosma) sepatutnya disoal oleh pembangkang.
Shamsul memohon penjelasan daripada Zahid yang juga timbalan perdana menteri mengenai tujuan tuduhan pelbagai pihak terhadap undang-undang pencegahan bagi tujuan keselamatan itu.
Shamsul membangkitkan kes penahanan bekas pemimpin Umno sebagai contoh kepada tuduhan salah guna kuasa kerajaan, yang dibangkitkan.
"Ada pihak tertentu yang menyalahkan kerajaan menyalahgunakan Sosma, sepatutnya Sosma adalah langkah pencegahan. Dituduhkan juga kerajaan menahan individu dan pihak tertentu.
"Kalau rujuk kes Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan, sedangkan kita buat tujuan lebih besar untuk keselamatan negara. Saya nak dapat komen daripada menteri," kata Shamsul.
Kemudian Zahid bingkas bangun, menoleh kepada Shamsul dan menjawab: "Soalan itu (sepatutnya) bukan datang daripada (YB) Lenggong, tetapi sepatutnya datang daripada orang di hadapan saya. Tapi tak mengapa," jawab Zahid.
Bagaimanapun, Zahid meneruskan penjelasan dengan menegaskan bahawa Sosma adalah undang-undang prosedur yang memperuntukkan langkah-langkah khas untuk menyiasat kesalahan keselamatan.
Katanya, kesalahan keselamatan bawah Sosma diletakkan dalam Jadual 1 Sosma antara lain adalah kesalahan terhadap negara yang terkandung dalam bab 6 Kanun Keseksaan dan bab 6A kanun yang sama mengenai kesalahan keganasan.
Katanya lagi, kesalahan bawah Seksyen 124L Kanun Keseksaan adalah kesalahan bawah bab 6 berkaitan kesalahan terhadap negara yang terletak bawah Sosma.
No comments: