Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menyelesaikan 85% atau 781 daripada 919 kertas siasatan yang dibuka pada 2014 berbanding 81.6% pada 2013 dan 75% pada 2012.
Menurut kenyataannya hari ini, bilangan pertuduhan yang dibawa ke mahkamah juga meningkat kepada 317 tahun lepas daripada 289 pada 2013.
"Begitu juga dengan jumlah denda yang dikenakan mahkamah ke atas pesalah rasuah meningkat kepada RM13 juta pada 2014 berbanding RM11.6 juta pada 2013," kata SPRM.
Daripada 919 kertas siasatan itu, 326 atau 35.5% melibatkan kesalahan menerima rasuah, memberi rasuah (159 atau 17.3%), tuntutan palsu (283 atau 30.8%), salah guna kedudukan (69 atau 7.5%) dan 82 kesalahan lain.
Menurut SPRM, pencapaian dari segi kadar sabitan masih berada di paras baik iaitu 78% berbanding 54% ketika SPRM dibentuk pada 2009.
Dalam pada itu, aset bernilai RM2.8 juta dilucuthakkan pada 2014.
SPRM berkata pencapaian itu merupakan hasil program transformasi sektor operasinya melalui pelaksanaan pendekatan pengurusan siasatan berpasukan (MTI).
Ia menarik perhatian program transformasi SPRM memberi fokus kepada sektor operasi, modal insan dan pencegahan yang dilaksanakan secara berperingkat sejak 2010.
Dalam pada itu, SPRM membuka 136 kertas pemeriksaan dan perundingan yang menghasilkan 231 cadangan penambahbaikan yang dikemukakan kepada agensi kerajaan dan swasta.
Ia termasuk syor penambahbaikan sistem dan prosedur kerja berkaitan penguatkuasaan dan pentadbiran tanah di Cameron Highlands, isu yang menjadi perhatian ramai tahun lepas, kata kenyataan itu.
sumber
No comments: