Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi hari ini menyarankan ahli Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) yang bakal diwajibkan untuk melakukan sumpah rahsia supaya tidak mendedahkan dokumen dari hasil siasatan badan bi-partisan itu.
Beliau berkata, selain daripada kerahsiaan tidak mendedahkan dokumen, Putrajaya juga menetapkan hanya pengerusi PAC sahaja yang boleh membuat kenyataan rasmi.
"Saya mencadangkan supaya angkat sumpah simpan rahsia mesti dilakukan ahli PAC," katanya pada sidang media di Parlimen di Kuala Lumpur hari ini.
Bagaimanapun, Zahid berkata cadangan itu perlu dirujuk kepada penasihat undang-undang untuk dilaksanakan.
Ditanya apakah saranannya merujuk kepada Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara Tony Pua, Zahid menafikannya.
"Saya tidak namakan mana-mana ahli. Saya serahkan kepada Speaker untuk kemukakan kepada majlis kerana beliau merupakan pengerusi Jawatankuasa Pemilih," kata Zahid yang mengambil alih jawatan Ketua Whip Ahli Parlimen BN daripada Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Sebelum ini, timbul desakan hebat pemimpin BN meminta Pua disingkirkan daripada PAC kerana didakwa mendedahkan dokumen siasatan mengenai syarikat sarat hutang 1Malaysia Development Berhad (1MDB).
Bagaimanapun pengerusi PAC sebelum ini, Datuk Nur Jazlan Mohamed mengatakan maklumat didedahkan sumbernya bukan daripada siasatan jawatankuasa itu.
sumber
No comments: