» » Wan Azizah akan kemuka usul undi tidak percaya Najib Razak di Parlimen


Dr Wan Azizah berkata usul itu akan difailkan di bawah Seksyen 26 Peraturan Mesyuarat Dewan Rakyat.

Presiden PKR itu turut memaklumkan usul undi tidak percaya berkenaan akan turut disokong ahli Parlimen PAS.

"Kita akan fail usul tidak percaya di bawah Peraturan Mesyuarat Dewan Rakyat.

"Ikut peraturan, apabila usul tersebut difailkan maka kita perlu tunggu 14 hari notis untuk tahun ia diterima atau tidak," katanya pada sidang media di Lobi Parlimen, Kuala Lumpur, hari ini.

DAP hari ini tegas dengan pendiriannya mahu Dr Wan Azizah mewakili semua ahli Parlimen pembangkang dan membawa usul undi tidak percaya terhadap perdana menteri pada sidang Parlimen kali ini.

Susulan Ahli Parlimen Petaling Jaya Selatan daripada PKR Hee Loy Sian mengemukakan notis mencadangkan usul itu sebelum ini, Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng berkata, ketua pembangkang harus diberi tanggungjawab tersebut kerana usul itu satu perkara serius.

Lim berkata, kegagalan Dr Wan Azizah yang juga presiden PKR berbuat demikian akan membuatkan pembangkang dianggap tidak bersungguh dalam usaha tersebut.

Bagaimanapun Naib Presiden PKR Chua Tian Chang mempertahankan Hee atas alasan ahli Parlimen PKR itu mempunyai hak untuk berbuat demikian.

Ahli Parlimen Batu itu berkata, tidak ada sebab untuk Hee menarik kembali usul undi tidak percaya terhadap Najib.

"Tidak ada perkara itu (tarik kembali usul tidak percaya) kecuali jika kita tidak mahu perdana menteri letak jawatan.

"Bagi saya setiap ahli Parlimen mempunyai hak untuk membawa apa sahaja usul," katanya kepada pemberita di lobi Parlimen hari ini.

Dalam reaksinya berhubung tindakan Hee, Dr Wan Azizah berkata ahli Parlimen Petaling Jaya Selatan itu perlu menarik kembali usul undi tidak percaya yang dibawanya dan harus memberi laluan kepada usul daripada Pakatan Harapan.

Sementara itu mengulas mengenai usul tidak percaya yang akan dibawa beliau, Dr Wan Azizah berkata ketika ini pihaknya perlu masih lagi dalam perbincangan untuk memastikan penulisan gesaan pengunduran Najib ditulis dengan kemas dan diterima Speaker.

"Kita akan lihat dulu, menulis sekemas-kemas dengan berhati-hati kalaupun ditolak namun ada rekod di Parlimen."

Dr Wan Azizah juga menyifatkan ianya sebagai tindakan menyelamatkan negara tanpa perlu mengambil kira sama ada berjaya ataupun tidak.

"Rakyat yang menuntut ini (pengunduran Najib). Ini merupakan salah satu daripada peluang yang kita ambil."

Ditanya bagaimana dengan kerjasama Pakatan Harapan dengan PAS terhadap usul tidak percaya, beliau berkata akan meneruskan perbincangan dengan parti Islam itu.

"Kita akan bercakap dan berbincang, tapi setakat ini PAS setuju mereka adalah pakatan pembangkang."

Pada masa sama Setiausaha Agung PKR Rafizi Ramli turut mengulas mengenai usul tersebut dengan menyatakan ianya tidak boleh ditolak tanpa mengambil kira ada kepentingan untuk didebat atau tiada.

"Pakatan Harapan mempunyai 74 ahli Parlimen termasuk PAS, dan PAS juga memberi komitmen mengundi usul tidak percaya terhadap Najib."

sumber


About Izikit

«
Next
Newer Post
»
Previous
Older Post

No comments:

Leave a Reply

Komen apa saja , cuma anda bertangggungjawab sepenuhnya atas komen anda sendiri .