Sekolah di beberapa negeri yang ditutup semalam akan terus ditutup esok susulan keadaan kualiti udara yang masih tidak sihat dan makin merosot tengahari ini, begitu juga di beberapa kawasan di Johor.
Ia melibatkan sejumlah 3,029 sekolah di seluruh Melaka, Negeri Sembilan, Selangor, Putrajaya, Kuala Lumpur, serta Kuching dan Samarahan di Sarawak, Tawau, Lahad Datu, Semporna dan Kunak di Sabah dan Muar, Ledang dan Segamat di Johor.
Kementerian Pendidikan dalam satu kenyataan berkata, penutupan ini akan melibatkan seramai 1,909,842 orang murid di kawasan tersebut.
Menurut kenyataan itu, berdasarkan pemantauan sehingga 1 petang ini, tahap bacaan indeks pencemaran udara (IPU) bagi kebanyakan kawasan tersebut masih berada pada tahap tidak sihat.
"Pihak Jabatan Pendidikan Negeri dan Pejabat Pendidikan Daerah terlibat hendaklah memaklumkan kepada sekolah-sekolah dan ibu bapa di kawasan masing-masing akan penutupan ini dengan kadar segera.
"Selain pihak tersebut, pengurusan sekolah di seluruh negara juga hendaklah secara berterusan memantau bacaan IPU yang dikeluarkan dari semasa ke semasa oleh pihak berwajib.
"Sekiranya berlaku peningkatan ke tahap tidak sihat dan sangat tidak sihat, maka pihak berkenaan boleh mengambil tindakan di peringkat masing-masing seperti yang ditetapkan oleh pihak kementerian."
Menurut Reuters hari ini, kebakaran hutan di Indonesia yang menyebabkan jerebu melanda kawasan Asia Tenggara sedang merebak ke kawasan baru dan mungkin tidak akan berjaya dipadamkan sehingga tahun depan, memetik pakar.
Kualiti udara di kebanyakan kawasan terus merosot dan setakat 1 tengah hari ini, sebanyak 18 kawasan mencatatkan IPU tidak sihat.
Kawasan yang mencatatkan IPU tidak sihat, tertinggi di Seremban 198, diikuti Batu Muda dan Banting (164), Nilai (160), Tawau (159) dan Bukit Rambai (158).
Menteri Pendidikan Datuk Seri Mahadzir Khalid berkata di lobi Parlimen hari ini, arahan penutupan sekolah di beberapa buah negeri itu turut berkuat kuasa kepada sekolah swasta.
Bagaimanapun, beliau berkata, bagi sekolah yang menjalankan peperiksaan tahunan seperti Sijil Peperiksaan Malaysia (SPM) ia tetap akan diteruskan.
"Peperiksaan yang besar ini tetap akan diteruskan, tapi kalau yang kecil-kecil ini mungkin boleh dilonggarkan sikit," katanya.
SPM akan bermula pada 2 November sementara semalam, kementerian mengeluarkan kenyataan, peperiksaan Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) dan Kolej Vokasional diteruskan di bawah Ops Topeng.
sumber
No comments: