Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak berkata beliau menerima data mengenai 71% rakyat Malaysia memilih pakej jalur lebar perlahan daripada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM).
"Saya hanya terangkan kenyataan berdasarkan perangkaan saya peroleh daripada SKMM yang 71% pengguna memilih membeli pakej yang mereka mampu walaupun kelajuan kurang.
"Kita perlu beritahu fakta...kalau kita tidak beritahu fakta, bagaimana kita boleh selesaikan masalah. Ini tanggungjawab kita bersama. Kita akan kaji idea sesiapa yang boleh menyumbang untuk membantu kita," katanya pada sidang media selepas mengadakan perjumpaan dengan pegawai Jabatan Penerangan Sarawak di Kuching, hari ini.
Salleh juga berkata beliau bertemu dengan para pemain industri telekomunikasi bagi menyelesaikan masalah pembangunan Internet di negara ini.
Menurutnya pertemuan itu diadakan bagi memastikan pembangunan Internet negara yang mencakupi kelajuan, liputan dan kemampuan dapat dicapai pada 2020 dan diakses oleh sekurang-kurangnya 95% rakyat.
"Kita sudah kenal pasti masalah perkara ini dan mencari jalan menyelesaikan serta mengambil tindakan yang sepatutnya.
"Kita kena ambil kira dan beri penekanan bukan saja di bandar tetapi juga di luar bandar bagi memastikan 95% daripada rakyat di seluruh negara boleh dapat kemudahan Internet menjelang 2020," katanya.
Ketika ditanya sama ada kekurangan tawaran pilihan pakej Internet menyebabkan pengguna di Malaysia terpaksa membayar lebih tinggi, Salleh berkata beliau menyedari perkara itu kerana adanya rungutan daripada pengguna dan pihak industri komunikasi berusaha mengatasinya.
sumber
No comments: