Bersama-sama dengan keputusan Pakatan Harapan, PAS akan menyokong usul undi tidak percaya kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak, kata Datuk Takiyuddin Hassan.
Bercakap kepada pemberita di Parlimen hari ini, setiausaha agung PAS itu berkata, pihaknya sendiri tidak mengetahui sama ada usul itu akan dibahaskan atau tidak, namun mereka akan menyokongnya secara dasar.
"Pada dasarnya kita memang bersama, kita menyokong, kita tidak tahu lagi usul ini naik atau tidak.
"Sebagai salah satu proses demokrasi dalam Parlimen, itu kita setuju," kata ahli Parlimen Kota Baru itu.
Beliau bagaimanapun berkata, strategi diperlukan untuk membawa usul berkenaan.
"Jadi kalau kita yang bawa usul tersebut, kita kena ada strategi. Kita tidak boleh dedah segalanya.
"Bagi saya apa yang dibuat oleh ketua pembangkang itu adalah satu usul yang mewakili semua pembangkang," katanya merujuk kepada Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.
"Saya rasa tidak ada pembangkang yang tidak akan sokong, malahan yang akan sokong mungkin daripada parti pemerintah sendiri."
Beliau bagaimanapun berkata tiada perbincangan khusus antara parti Islam itu bersama-sama Dr Wan Azizah membabitkan usul berkenaan.
"Pembangkang bincang dalam Pakatan Harapan, kita tidak ada dalam itu.
"Bila kita jumpa baru kita bincang secara terperinci. Setakat ini apa yang kita tahu, setakat apa yang ada dalam aturan mesyuarat," katanya.
Beliau turut berkata, kenyataan Dr Wan Azizah semalam juga tidak melibatkan perbincangan bersama PAS, namun beliau turut menyuarakan keyakinan perbincangan antara mereka akan berlaku.
"Sebelum Dr Wan Azizah buat kenyataan semalam tidak ada sebarang perbincangan dengan PAS. Tetapi kita akan bincang. Bila tidak tahu lagi.
"Kalau ada betul-betul usul itu, kita akan bersama, kita pembangkang," katanya.
Speaker Dewan Rakyat Tan Sri Pandikar Amin Mulia semalam bagaimanapun berkata, usul undi tidak percaya terhadap Najib yang ingin dibawa Dr Wan Azizah berkemungkinan tidak akan dibahaskan pada sesi ini.
Pandikar berkata, melalui peraturan mesyuarat, mana-mana usul yang ingin dibawa ke dalam perbahasan di Dewan Rakyat perlu dikemukakan 14 hari sebelum Parlimen bersidang.
"Saya ingatkan Permatang Pauh, kalau nak buat usul undi tak percaya, kalau menepati peraturan mesyuarat 26 dan 27, kalaupun diterima ia akan diberi masuk sesi mesyuarat akan datang, bukan sesi ini," kata Pandikar, merujuk kepada kerusi Parlimen yang diwakili Dr Wan Azizah.
Dr Wan Azizah bagaimanapun berkata, pihaknya akan tetap memfailkan usul tersebut, meskipun sama ada ia diterima atau ditolak speaker.
"Soal tolak atau tidak, itu soal lain, namun kita akan tetap failkan juga usul undi tidak percaya," katanya pada sidang media di lobi Parlimen semalam.
Sebelum itu, presiden PKR itu mengadakan pertemuan dengan speaker membincangkan usul tersebut berikutan pengumuman Pandikar yang usul undi tidak percaya itu mungkin tidak akan dibahaskan pada sesi ini.
Usul undi tidak percaya terhadap perdana menteri sebelum ini di bawa Ahli Parlimen Petaling Jaya Selatan, Hee Loy Sian.
Usul berkenaan berada di kedudukan ke-25 daripada ke-28 usul yang akan dibahaskan Dewan Rakyat.
DAP bagaimanapun mahu Dr Wan Azizah membawa usul berkenaan di Dewan Rakyat.
sumber
No comments: