» » Harga barang di Kedai Rakyat 1Malaysia sama sahaja macam di pasaraya lain


Terima kasih kepada Kedai Rakyat 1Malaysia (KR1M), Sharifah berjaya bertahan dengan gerai nasi lemak tepi jalannya, bergantung kepada produk jenama sendiri (house brand) kedai itu, untuk separuh daripada barangan yang diperlukan bagi menjalankan perniagaan di luar blok rumah pangsa di Sunway Mentari, Selangor.

Pandangannya turut diakui ramai daripada 30 keluarga kelas pekerja dan pengendali makanan skala kecil yang dikaji selidik The Malaysian Insider, bertanyakan sama ada mereka berasa mendapat nilai untuk wang mereka apabila membeli-belah di KR1M, yang kini mempunyai lebih 250 cawangan seluruh negara.

KR1M adalah asas kepada usaha pentadbiran Datuk Seri Najib Razak bagi membantu golongan berpendapatan rendah dan Bajet 2016 yang akan dibentangkan di Dewan Rakyat hari ini dijangka mengumumkan lebih banyak cawangan KR1M dibuka di seluruh negara sebagai sebahagian daripada rancangan membantu kumpulan 40% isi rumah berpendapatan purata RM2,500 sebulan.

Rangkaian kedai ini bagaimanapun, menerima kritikan sejak ia dilancarkan pada 2010, termasuk dakwaan barangannya lebih mahal berbanding di pasar raya dan produk jenamanya sendiri rendah kualitinya.

Walaupun KR1M membantu, Sharifah dan separuh daripada mereka yang ditinjau pendapat berasa, akhirnya ia sama seperti mana-mana kedai lain – ada barangnya yang murah tetapi ada juga beberapa barang lain yang jauh lebih mahal daripada kedai lain, dan pengguna yang bijak tidak boleh hanya bergantung pada KR1M untuk menjimatkan wang.

Jurucakap KR1M ketika dihubungi berkata, dakwaan yang standard produk jenama sendirinya lebih rendah hanya satu persepsi, dan menegaskan produk 1Malaysia lebih murah berbanding jenama lain.

KR1M bukan berasaskan keuntungan dan beberapa barangnya dijual dengan harga yang asalkan tidak akan merugikan, kata jurucakap itu.

Lebih murah tidak semestinya popular

Kira-kira 50% daripada keluarga dan individu yang ditinjau berkata, KR1M sama seperti mana-mana kedai lain dari segi harga dan kualiti barangan yang dijual, kerana selain barangan berjenama 1Malaysia, ia juga mempunyai produk berjenama yang boleh didapati di kedai lain seperti Nestle, Ayam Brand dan F&N.

Apa yang membezakan KR1M adalah barangan jenama 1Malaysia yang meliputi hampir setiap produk isi rumah yang biasa digunakan daripada lampin, gel mandi, cecair pencuci dan tisu muka hinggalah makanan kering seperti serbuk coklat malt, kordial, beras, telur, susu pekat dan biskut.

Harganya lebih rendah 20 sen hingga RM1 berbanding jenama biasa. Tetapi, barang yang lebih murah tidak semestinya lebih disukai.

Semua kecuali 3 daripada 30 pelanggan yang dikaji selidik berkata, mereka membeli jenama 1Malaysia. Tetapi hanya 7 daripada 30, atau 23% daripada peserta kajian berkata, lebih 50% daripada semua belian mereka di KR1M terdiri daripada barangan jenama 1Malaysia.

Kira-kira 40% atau 12 daripada mereka yang ditemubual berkata, 20% atau kurang daripada semua barangan yang mereka beli di KR1M adalah daripada jenama rangkaian itu sendiri.

Kira-kira 26% atau 8 daripada responden berkata, produk KR1M terdiri daripada 20% hingga 50% barang yang dibeli.

Dalam erti kata lain, majoriti pengunjung KR1M yang ditemui masih membeli jenama konvensional bagi sebahagian besar keperluan mereka, walaupun ia lebih mahal berbanding jenama 1Malaysia.

Kebanyakan pembeli menganggap KR1M sebuah kedai runcit yang mudah didapati dan tidak semestinya ke kedai itu bagi mendapatkan barangan jenamanya.

"Ia lebih seperti sebuah kedai runcit yang anda kunjungi apabila anda kehabisan sesuatu di rumah, tetapi tidak ada masa untuk pergi ke pasar raya," kata seorang pembeli yang hanya mahu dikenali sebagai Aznil, 35.

Hanya 27% (8 responden) berkata mereka membeli semua barangan rumah mereka di KR1M dan mereka inilah yang mempunyai 50% atau lebih jenama barangan 1Malaysia dalam pembelian mereka. Selebihnya pergi ke kedai lain untuk bekalan bulanan mereka.

Mereka yang ditinjau terdiri daripada penjaja makanan, pelajar, graduan universiti, pasangan berkahwin dan keluarga yang tinggal di kejiranan golongan pekerja di sekitar 3 cawangan KR1M di Lembah Klang.

Cawangan kedai berkenaan adalah di Pantai Permai, Pantai Dalam, Jalan Sungai Tua, Batu Caves dan Desa Mentari, Subang Jaya.

Ditanya bagaimana mereka menilai KR1M dari segi harga dan kualiti berbanding kedai runcit dan pasar raya seperti Giant, Tesco, Econsave, 50% mengatakan KR1M "sama" sahaja seperti yang lain.

Kira-kira 40% mengatakan KR1M lebih baik daripada kedai lain manakala 10% mengatakan ia lebih teruk.

Rakyat harap yang lebih baik

KR1M pada masa ini dikatakan pelanggan dilihat sebagai tempat yang dikunjungi apabila tidak ada masa untuk pergi ke pasar raya. – Gambar fail The Malaysian Insider, 23 Oktober, 2015.Reena (bukan nama sebenar) berkata, dia menjangkakan KR1M akan lebih baik dengan segala publisiti mengatakan ia akan menawarkan barangan murah.

Dia menunjukkan kepada sebuah rangkaian kedai yang menjadi saingan di seberang jalan di mana terletaknya KR1M yang baru beliau kunjungi.

"Anda masih melihat lebih banyak orang pergi ke kedai itu berbanding KR1M. Sepatutnya, KR1M dapat lebih ramai pelanggan daripada kedai itu kerana ia lebih murah," kata pembantu kedai berusia 32 tahun itu.

"Kualiti masih penting. Orang ramai tidak mahu beras yang hancur apabila dimasak," katanya, mengulangi perkara yang sering diadukan orang ramai mengenai beras jenama sendiri KR1M yang berharga lebih murah.

Daripada 10 orang yang memberikan pandangan mereka mengenai kualiti barangan KR1M, 6 berkata, kebanyakan barangan jenama sendirinya rendah kualiti, manakala 4 menyatakan ia boleh diterima.

Pejuang hak pengguna Datuk Paul Selvaraj berkata, perlu ada keseimbangan antara kualiti dan harga kerana KR1M bertujuan membantu rakyat Malaysia berpendapatan rendah.

"Ia juga mengenai mendidik pengguna mengenai nilai untuk wang. Rasa adalah subjektif tetapi selagi makanan itu cukup selamat untuk dimakan dan menjimatkan wang, ia sepatutnya okay.

"Kita perlu lari daripada tabiat mementingkan jenama dan beralih kepada barangan yang memberi lebih nilai untuk wang kita."

Bagaimanapun, dakwaan KR1M yang ia menawarkan harga lebih rendah juga menerima cabaran.

Pada Februari, Ahli Parlimen Segambut Lim Lip Eng melakukan perbandingan antara barangan yang dijual di sebuah kedai KR1M dan cawangan Tesco dan mendakwa harga barangan KR1M lebih tinggi.

Pengarah Urusan Mydin Datuk Ameer Ali Mydin menafikan penemuan Lim, tetapi Lim menegaskan ia benar.

Wakil rakyat DAP itu mendakwa, KR1M hanya berjaya menidakkan satu contoh perbandingan daripada senarai barangan yang dikajinya.

Reena, pembantu kedai dari Desa Mentari itu berkata, dia benar-benar mahu menyokong KR1M kerana ia jenama tempatan.

"Tetapi ia perlu jadi lebih baik berbanding yang lain jika ia benar-benar mahu kita membeli-belah di sana. Buat masa ini, sukar untuk memberi sokongan penuh kepada KR1M," katanya.

sumber


About Izikit

«
Next
Newer Post
»
Previous
Older Post

No comments:

Leave a Reply

Komen apa saja , cuma anda bertangggungjawab sepenuhnya atas komen anda sendiri .