Dua syarikat perlombongan bauksit di daerah ini, dikesan mengepam air secara haram dari dua sungai utama di sini, sehingga menjejaskan sumber air lebih 20,000 penduduk di tiga kampung berhampiran, sejak beberapa bulan lepas.
Syarikat berkenaan, masing-masing beroperasi di Felda Bukit Goh 1 dan Felda Bukit Goh 3, dikesan menyedut air dari Sungai Rong dan Sungai Taweh, memasuki beberapa empangan yang mereka bina untuk membersihkan bauksit menyebabkan air di sungai tersebut kering.
Adun Sungai Lembing, Datuk Md Sohaimi Mohamed Shah berkata, keadaan itu menyebabkan Pengurusan Air Pahang Berhad (PAIP) kehilangan sumber air mentah untuk disalurkan ke Loji Air Bukit Goh dan Loji Air Bukit Sagu.
"Kita mendapat aduan penduduk menyatakan air di Sungai Rong dan Sungai Taweh menjadi cetek dan kering ekoran kegiatan pembersihan mineral bauksit yang dijalankan di Felda Bukit Sagu 1 dan 3.
"Hasil tinjauan hari ini, aduan tersebut ada asasnya dan kita dapati mereka menyedut air sungai ini tanpa kebenaran," katanya kepada pemberita, selepas mengadakan lawatan mengejut di kedua-dua kawasan pembersihan bauksit itu, di sini hari ini.
Md Sohaimi berkata, tinjauan juga mendapati syarikat terbabit menyalahgunakan permit melombong yang diperoleh dengan melakukan kegiatan tersebut.
"Dikhuatiri empangan-empangan yang dibina bagi tujuan pembersihan bauksit ini boleh mengakibatkan kejadian banjir buruk kepada penduduk setempat apabila tiba musim tengkujuh.
"Malah, kita juga risau air basuhan bauksit ini akan melimpah ke anak-anak sungai, sekali gus menjejaskan punca air penduduk kampung kerana empangan itu terletak tidak sampai satu kilometer daripada punca air," katanya.
Berikutan itu, beliau berharap kerajaan negeri dan pihak berkuasa berkaitan mengambil perhatian terhadap perkara itu bagi mengelak kejadian lebih buruk terutama pada musim tengkujuh, kelak.
Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Perwakilan Penduduk Zon 21, Mohd Farid Basiron berkata salah sebuah syarikat berkenaan yang beroperasi di kawasan seluas 12 dan 20 hektar itu, dikesan menyekat aliran sungai untuk ke loji dan menyalurkannya ke empangan mereka.
"Perbuatan tidak bertanggungjawab itu menyebabkan penduduk mengalami gangguan air, dan sepanjang 30 tahun lepas, kami duduk di sini tidak pernah masalah ini berlaku," katanya.
No comments: