» » Aktivis mahasiswa mahu pendidikan percuma di Malaysia menjelang Bajet 2016


Menjelang pembentangan Bajet 2016 hari ini, aktivis mahasiswa mahu Putrajaya melaksanakan pendidikan percuma di peringkat universiti awam, mahupun swasta, bagi memastikan graduan tidak dibebani hutang selepas tamat pengajian disebabkan pinjaman pendidikan seperti Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN).

Mereka berkata, pendidikan percuma realistik perlu dilaksanakan apatah lagi kerajaan kini mempunyai tambahan pendapatan selepas pelaksanaan cukai barangan dan perkhidmatan (GST).

Aktivis Mahasiswa UM8 daripada Universiti Malaysia (UM), Fahmi Zainol berkata hasil GST boleh digunakan untuk menampung kos pendidikan rakyat Malaysia sehingga ke peringkat tinggi.

"Meskipun saya mendapat bantuan biasiswa, tetapi saya juga melihat pelajar lain yang meminjam PTPTN. Mereka sudah berhutang sebelum bekerja," kata Fahmi yang menggemparkan negara tahun lalu apabila membawa masuk bekas ketua pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim ke kampus Universiti Malaya.

"Saya dapat rasa rakan sendiri apabila melihat mereka terpaksa bayar hutang malah ada juga anak muda muflis," katanya yang juga bekas Yang Dipertua Majlis Perwakilan Pelajar UM (MPPUM).

Bersetuju dengan Fahmi, aktivis mahasiswa Universiti Selangor (Unisel) Wan Noor Faril Azli Wan Haron menegaskan tiada alasan bagi Putrajaya untuk tidak melaksanakan pendidikan percuma.

"Jika penyelewengan RM2.6 billion boleh dilakukan, kenapa pendidikan percuma tidak boleh diberi?" soalnya merujuk kepada dana RM2.6 bilion yang masuk ke dalam akaun peribadi Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.

"Kerajaan harus beri pendidikan percuma kerana memberi pendidikan kepada rakyat itu tanggungjawab kerajaan," katanya yang merupakan aktivis Gerakan Mahasiswa Memacu Agenda Fasilitasi OKU.

Aktivis mahasiswa dari Unisel Wan Noor Faril Azli Wan Haron semasa temubual tentang kos sara hidup dan Bajet 2016 di Shah Alam pada 21 Oktober, 2015. – Gambar The Malaysian Insider oleh Ahmad Muslim, 23 Oktober, 2015.Semasa Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) lalu, pembangkang Pakatan Rakyat (PR) memasukkan pendidikan percuma dalam manifesto mereka sebagai usaha untuk mendapat sokongan golongan muda yang tersepit.

Isu pendidikan percuma disuarakan PR yang menggesa pemansuhan PTPTN dan Putrajaya dipertanggungjawabkan untuk menyediakan pendidikan tinggi percuma kepada rakyat.

Sementara itu mengulas mengenai Bajet 2016 pula, Faril mengharapkan bajet yang bakal dibentangkan Najib yang juga menteri kewangan akan mengukuhkan kembali ekonomi dan bertumpu kepada golongan berpendapatan rendah.

"Bagi saya, bajet kali ini harus mengutamakan ekonomi rakyat marhaen.

"Kerana dalam keadaan ekonomi yang cukup tertekan dengan kos sara hidup yang naik mencanak, kerajaan wajib mencari inisiatif lain untuk meringankan beban rakyat," katanya.

Faril juga mencadangkan Putrajaya memansuhkan pemberian Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M).

"BR1M adalah bantuan secara 'one off', lebih baik kerajaan gunakan duit tersebut untuk menghapuskan tol dan menurunkan harga minyak," katanya.

Bagaimanapun, Faril mahu baucer buku yang diberikan kepada pelajar diteruskan tetapi dipantau untuk mengelak salah guna baucer tersebut.

Sementara Fahmi pula tidak mahu Bajet 2016 diteruskan kerana krisis kepimpinan Najib perlu diselesaikan terlebih dahulu.

"Selesaikan dulu masalah dan krisis kepimpinan," kata Fahmi yang merujuk kepada cara Najib menguruskan negara yang dikritik ramai pihak.

sumber


About Izikit

«
Next
Newer Post
»
Previous
Older Post

No comments:

Leave a Reply

Komen apa saja , cuma anda bertangggungjawab sepenuhnya atas komen anda sendiri .