Benarlah kata orang, bahasa Melayu adalah bahasa yang menyatukan semua kaum di negara ini.
Tidak mengira apa sahaja kaum, bahasa tersebut adalah wahana perpaduan dalam kalangan masyarakat berbilang bangsa di dalam negara ini.
Bagi bekas guru yang juga munsyi Dewan Bahasa dan Pustaka, Chai Loon Guan, 56, kecintaannya pada bahasa Melayu sejak kecil lagi apabila beliau berkawan dengan berbilang bangsa di kampung.
Beliau tidak kekok berkawan dan bertutur dalam bahasa Melayu sesama rakan berbilang bangsa menjadi titik permulaan jatuh cinta terhadap bahasa itu.
“Walaupun latar belakang kami berbeza, kami tidak pernah terasing satu sama lain malah bercakap dalam bahasa Melayu untuk berkomunikasi,” katanya kepada Sinar Harian.
Loon Guan juga mengakui jatuh cinta terhadap bahasa Melayu walaupun ibu bapanya tidak mampu bertutur dengan baik dalam bahasa itu dan bertutur dalam loghat Hokkien.
Namun begitu, katanya, ibu bapanya banyak beri galakan kepadanya termasuk aktif dalam aktiviti berkaitan bahasa dan sastera Melayu.
“Kecintaan saya terhadap bahasa Melayu terus bercambah hari demi hari selepas menerima tawaran melanjutkan pelajaran di Maktab Ilmu Khas Kuala Lumpur pada 1981 dalam bidang ilmu hisap atau kini lebih dikenali sebagai matematik,” katanya.
Aktif bidang sastera
Loon Guan berkata, walaupun mendapat opsyen Matematik ketika di maktab, beliau tetap bergiat aktif dalam sastera dengan mengikuti pelbagai aktiviti termasuk teater.
Katanya, walaupun hanya jadi pelakon tambahan, apa yang membuatkan beliau bangga apabila teater dilakonkan itu berdasarkan skrip ditulisnya sendiri.
Menurutnya, selepas tamat pengajian di maktab, beliau ditempatkan di Sekolah Menengah Dato Bendahara CM Yusuf, Tanjung Tualang dengan mengajar mata pelajaran Matematik, tetapi minat bahasa Melayu.
Loon Guan berkata, ketika beliau mengajar sekolah itu, beliau juga diberi peluang mengajar subjek Kesusasteraan Melayu kerana kekurangan guru pada ketika itu.
“Bermula daripada itu, minat saya terus bercambah sehingga saya berpindah ke SMK Sungkai dan mendapat tawaran melanjutkan pelajaran setahun ke Institut Bahasa pada tahun 1991.
“Ketika itu, saya satu-satunya guru opsyen Matematik, Cina, masuk IB kursus bahasa Melayu, bacaan dan penulisan di mana saya dapat lebih ilmu daripada pensyarah,” katanya.
Katanya, menerusi peluang itu, beliau terus melanjutkan pelajaran dalam di rancangan bahasa Melayu, Akademi Pengajian Melayu, Universiti Malaya yang memberi fokus berkenaan bahasa itu.
Jelasnya, walaupun sibuk mengajar murid-murid, beliau sempat menghantar hasil karyanya ke beberapa akhbar-akhbar tabloid.
Katanya, beliau juga mula mencuba nasib dalam surat-surat khabar dan majalah arus perdana tanah air seperti Mingguan Malaysia, Berita Minggu, Dewan Sastera, Pelita Bahasa dan Dewan Bahasa untuk menghantar hasil karyanya.
Menurutnya, beliau berbangga apabila hasil karya yang dihantar ke surat khabar dan majalah arus perdana mendapat perhatian.
“Kecintaan saya pada seni, sastera dan bahasa memuncak apabila berjaya menggondol beberapa anugerah peringkat negeri dan nasional dalam pelbagai kategori.
Katanya, niatnya mahu menyebar luas bahasa Melayu kepada semua kaum kerana ia adalah bahasa perpaduan.
Menurutnya, keputusannya menjadi munsyi yang dilantik Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) adalah langkah terbaik.
“Keputusan saya untuk menjadi munsyi yang dilantik DBP mahu menyebarluaskan Bahasa Malaysia kepada orang ramai tidak mengira kaum.
“Saya memerlukan pengiktirafan kerana niatnya mahu kembangkan bahasa Melayu kerana ia bukan hanya untuk orang Melayu, tetapi untuk semua,” katanya.
No comments: