Semua sekolah di Selangor, Kuala Lumpur, Putrajaya, Negeri Sembilan dan beberapa bahagian di Sarawak ditutup esok susulan keadaan jerebu yang semakin teruk hari ini, menurut Kementerian Pendidikan dalam satu kenyataan hari ini.
Bahagian di Sarawak yang terlibat ialah Sri Aman, Kuching dan Samarahan.
"Berdasarkan pemantauan berterusan di seluruh negara menerusi bacaan indeks pencemaran udara (IPU) hari ini, beberapa kawasan mencatatkan bacaan udara "tidak sihat" (IPU 101-200) dan "sangat tidak sihat" (201-300).
"Sehubungan itu, kementerian memaklumkan, semua sekolah di negeri Selangor, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Wilayah Persekutuan Putrajaya, Negeri Sembilan, Bahagian Sri Aman, Kuching dan Samarahan di negeri Sarawak perlu ditutup pada 28 September 2015 (Isnin)," kenyataan itu dipetik.
Kementerian berkata, jabatan pendidikan negeri dan pejabat pendidikan daerah bagi negeri dan bahagian terlibat perlu memaklumkan sekolah dan ibu bapa di kawasan masing-masing mengenai penutupan itu dengan kadar segera.
Setakat pukul 11 pagi tadi, 5 kawasan mencatatkan bacaan IPU "sangat tidak sihat" dengan Shah Alam pada 281; Batu Muda, Kuala Lumpur (256); Pelabuhan Klang (252), Petaling Jaya (232) dan Putrajaya (206).
Beberapa kawasan lain di Selangor, Kuala Lumpur, Negeri Sembilan dan Sarawak mencatatkan bacaan IPU tidak sihat iaitu Banting (190), Sri Aman (188), Cheras (183), Kuala Selangor (168), Seremban (152), Samarahan (145), Nilai (144), Kuching (139) dan Port Dickson (131).
IPU pada tahap antara 0-50 adalah baik, sederhana (51-100), tidak sihat (101-200), sangat tidak sihat (201-300) dan berbahaya (lebih 300).
sumber
No comments: