Tujuh lelaki, termasuk seorang doktor tentera akan didakwa esok dalam kes pembunuhan Kevin Anthony Morais, timbalan pendakwa raya yang mayatnya dijumpai di dalam tong dram diisi simen pada Hari Malaysia di Subang Jaya minggu lepas.
Lima daripada mereka akan didakwa atas kesalahan membunuh mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan, sementara dua lagi termasuk doktor tentera tersebut akan didakwa atas tuduhan bersubahat di bawah Seksyen 109 Kanun Keseksaan, kata sumber kepada The Malaysian Insider.
Semua 7 suspek akan berdepan hukuman bunuh jika disabitkan bersalah.
Polis sebelum ini berkata Morais merupakan timbalan pendakwa raya dalam kes melibatkan doktor tersebut, seorang kolonel berusia 50-an, bertugas di makmal patologi Hospital Angkatan Tentera Tuanku Mizan yang didakwa kerana perniagaan haram pada Disember 2013.
Pada September tahun lepas, doktor tersebut yang diikat jamin sebanyak RM100,000, dibicarakan dalam 2 dakwaan rasuah bernilai RM700,000 kerana menyarankan 3 syarikat membekalkan ubat dan alatan perubatan kepada hospital.
Semua 7 individu itu akan didakwa di mahkamah majistret di Kompleks Mahkamah Jalan Duta esok, walaupun mayat Morais masih belum dituntut dari bilik mayat Hospital Kuala Lumpur.
Adik beradik Morais – Charles, David dan Datuk Richard – dipercayai amat tidak berpuas hati dengan ketidaktentuan punca kematian dan memutuskan untuk tidak mengambil mayatnya sementara menunggu laporan penuh bedah siasat.
Satu upacara peringatan diadakan di Gereja St Joseph, Sentul semalam selepas upacara 'wake' 3 hari di pusat Nirvana Memorial di Kuala Lumpur.
Satu upacara pengebumian akan diadakan di Church of the Divine Mercy di Shah Alam pada 3 Oktober.
Morais hilang pada pagi 4 September selepas diculik beberapa lelaki dalam satu pelanggaran di Jalan Dutamas, Kuala Lumpur, di tengah kesesakan lalu lintas. Beliau dibawa lari oleh suspek selepas keluar dari keretanya untuk memeriksa kerosakan.
Richard membuat laporan polis keesokan harinya di Balai Polis Jinjang selepas mendapati adiknya tidak hadir di tempat kerja sebelumnya dan panggilan ke 2 telefon bimbit beliau tidak dijawab.
Polis kemudiannya menjumpai Proton Perdana yang dibakar dengan nombor casis dan enjin dipadamkan, di sebuah ladang di Hutan Melintang, Perak. Morais kali terakhir dilihat memandu Proton Perdana milik kerajaan.
Sehari selepas itu, Peguam Negara Tan Sri Mohamed Apandi Ali mengeluarkan kenyataan Morais tidak terlibat dalam pasukan petugas kerajaan yang sebelum ini menyiasat syarikat milik kerajaan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) atas kontroversi hutangnya.
Apandi menjawab spekulasi di media sosial tentang kemungkinan kaitan antara kehilangan Morais dan siasatan berprofil tinggi ke atas syarikat pelaburan negara itu.
Dalam kenyataan berasingan, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berkata Morais pernah berkhidmat sebagai timbalan pendakwa raya di bahagian perundangan dan dakwaan selama 10 tahun sehingga beliau kembali ke Jabatan Peguam Negara pada Julai tahun lepas.
Selepas beberapa hari, Ketua Polis Tan Sri Khalid Abu Bakar merupakan yang pertama mendedahkan, polis mengesyaki unsur jenayah dalam kehilangan Morais, menambah kes tersebut diklasifikasikan semula sebagai penculikan.
Ini selepas hasil rakaman kamera litar tertutup (CCTV) menunjukkan pelanggaran yang terjadi menyaksikan Morais diikat masuk ke dalam sebuah lori pikap.
12 hari selepas penculikan beliau, polis dibawa ke kawasan paya di Taman Subang Mewah di USJ 1, Subang Jaya di mana mereka menjumpai mayat Morais di dalam tong dram berisi simen.
Dilaporkan juga polis membuat beberapa penahanan di Lembah Klang, Pulau Pinang dan Kedah dalam siasatan mereka.
Beratus hadirin datang ke upacara pengebumian beliau sejak 3 hari lepas, dan rakan sekerja beliau dalam bidang undang-undang menyifatkan Morais sebagai seorang pendakwa raya yang bijak, ramah, rendah diri, seorang mentor, guru dan patriot.
sumber
No comments: