Pembangunan berat sebelah, seperti dipinggirkan dalam proses membuat keputusan dan cara "Malaya" melaksanakan sesuatu perkara dipercayai punca mengapa Malaysia Timur masih rasa terasing dari Semenanjung meskipun selepas 52 tahun pembentukan Malaysia, kata penganalisis.
Dengan sambutan Hari Malaysia hari ini, pemerhati berpendapat, ia diburukkan lagi dengan keadaan di mana Sabah dan Sarawak yang kaya dengan sumber asli berbanding semua negeri di Semenanjung tidak menerima kemajuan pembangunan yang sama.
Dr James Chin berkata, perasaan terasing itu timbul kerana rakyat di Sabah dan Sarawak merasakan Putrajaya gagal menunaikan janji untuk memberikan kehidupan lebih baik termasuk autonomi kepada kedua-dua negeri berkenaan.
Dalam rumusannya berkaitan hubungan pusat dan Malaysia Timur, Chin berkata ramai penduduk di Sabah dan Sarawak merasakan penyertaan bersama Semenanjung tidak menguntungkan mereka, malah merasakan kerajaan pusat yang diketuai Umno cuba melaksanakan kerangka politik terutama sistem politik Melayu dan Islam diutamakan.
Beliau berkata, corak itu dapat dilihat melalui campur tangan kerajaan pusat bagi memastikan ketua menteri daripada kedua-dua negeri hanya boleh diisi oleh orang Islam.
"Penduduk peribumi KDM di Sabah dan Dayak di Sarawak semakin kecewa dengan kegagalan mereka menghalang cerminan Umno-BN dan kuasa politik di Malaysia Timur," katanya, merujuk kepada kaum Kadazan Dusun-Murut.
"Ada peribumi bukan Islam berpendapat mereka tidak akan berupaya menguasai politik di bawah model BN. Mereka khuatir Melayu dan Islam yang diutamakan akan memusnahkan budaya warisan dan memisahkan negeri dengan garisan agama.
"Rakyat Malaysia Timur amat khuatir, selepas setengah abad penyatuan, iklim sosiopolitik mereka cerminan di Malaya sejak Merdeka, Sabah dan Sarawak mempunyai kepelbagaian etnik tetapi amat sedikit isu membabitkan perkauman dan agama,” katanya.
Sambutan Hari Malaysia disambut setiap 16 September bagi memperingati penyertaan Sabah dan Sarawak, serta Singapura ke dalam Malaya dan membentuk Persekutuan pada 1963. Singapura dikeluarkan 2 tahun kemudian ekoran perbezaan ideologi.
Chin berkata, faktor lain yang turut menyumbang kepada isu tersebut ialah pembangunan yang lembap.
"Sabah dan Sarawak masih lagi ketinggalan daripada segi pembangunan infrastruktur, dan petunjuk lain ialah kadar kemiskinan di Sabah antara yang tertinggi (di Malaysia).
"Mereka khuatir dengan politik perkauman dari Malaysia Barat yang meresap ke dalam Malaysia Timur," kata pengarah di institut Asia Universiti Tasmania itu.
Beliau berkata, antara cara yang boleh menyelesaikan isu itu ialah memberikan kedua-dua negeri itu autonomi penuh, tetapi Putrajaya tidak akan melaksanakannya kerana khuatir negeri lain akan membuat tuntutan sama.
"Kerajaan pusat tidak membolehkan Sabah dan Sarawak autonomi penuh kerana negeri seperti Kelantan dan Johor akan meminta perkara sama," katanya.
Penganalisis, Dr Oh Ei Sun berkata rasa terasing itu disebabkan politik dan perniagaan di Malaysia masih lagi mengamalkan "sentrik Malaya" dan Malaysia Timur sering dianggap ‘dan lain-lain’.
"Meskipun menjadi negeri yang kaya dalam Persekutuan, timbul satu perasaan di mana kekayaan hasil kami digunakan untuk memajukan Malaya," kata pensyarah kanan di Singapore Nanyang Technological University S Rajaratnam School of International Studies itu.
Oh yang juga anak Sarawak berkata, lebih malang lagi perasaan itu tidak akan hilang selagi tiada kemajuan setara diterima seperti Semenanjung.
"Kerajaan seharusnya meletakkan pembangunan sama rata antara Malaysia Timur dan Malaysia Barat. Semenanjung perlu belajar budaya dan menghormati perbezaan budaya dan agama," katanya.
Bagi mengatasi isu itu, Dr Arnold Puyok mencadangkan kerjasama erat antara negeri Borneo dan Semenanjung.
"Tingkatkan hubungan antara pemimpin Semenanjung dan Sabah dan Sarawak, tingkatkan pemahaman antara wilayah, kurangkan jurang pembangunan dan tambahkan rasa pemilikan," katanya.
Saintis politik, Dr Zaini Othman dari Universiti Sabah Malaysia berkata terlalu ekstrem untuk mengatakan mereka masih terasing kerana tidak semua pihak beranggapan sedemikian.
Meskipun mengakui ia wujud, fokus harus diberikan kepada intelektual dan fizikal bagi membantu merangka kerangka Persekutuan Malaysia.
"Persekutuan Malaysia masih lagi sedang dibentuk, bermakna selepas 52 tahun kewujudannya, makna sebenar Persekutuan, daripada segi falsafah dan amalannya, masih belum lengkap.
"Ia memerlukan masa selepas 52 tahun, semua segmen disemak semula, seperti makna sosiologi, dan amalan Persekutuan itu sendiri.
"Sifat Persekutuan itu sendiri, sama ada selari dengan semangat politik Persekutuan yang dipersetujui, budaya Persekutuan Malaysia, adakah selari dengan budaya rakyat Malaysia," katanya.
sumber
No comments: