» » Undang-undang baharu bakal kawal penggunaan vape di Malaysia


Undang-undang kawalan hasil tembakau yang sedang dirangka Kementerian Kesihatan untuk dibentangkan di Parlimen bakal mengambil kira kawalan penggunaan vape yang memudaratkan kesihatan pengguna, kata Timbalan Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Hilmi Yahaya.

Beliau berkata undang-undang sedia ada iaitu Peraturan-peraturan Kawalan Hasil Tembakau (Pindaan) 2011 di bawah Akta Makanan 1983 dilihat tidak begitu berkesan pada masa kini terutama daripada segi denda yang dikenakan terhadap pesalah bagi mengawal penggunaan vape dan hasil tembakau seperti rokok.

"Vape kita masukkan sekali supaya kita dapat kawal yang sekarang ini kita tidak dapat kawal, vape amat berbahaya terutama bila asap disedut anak-anak kita. Saya nasihatkan hentikan menggunakan vape kerana ia mendatangkan kesan negatif kepada kesihatan.

"Proses merangka undang-undang berkaitan hasil tembakau ini berjalan kira-kira 2 tahun dan saya amat berharap ia akan dibawa ke Parlimen dengan secepat mungkin," katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Majlis Zoomers Kelab Doktor Muda Sekolah Menengah Peringkat Kebangsaan di Sekolah Berasrama Penuh Integrasi Selandar di Jasin, semalam yang turut dihadiri Pengarah Jabatan Kesihatan Melaka Datuk Dr Ghazali Othman.

Sementara itu, Dr Hilmi berkata terdapat peningkatan terhadap penyakit disebabkan jerebu di negara ini antaranya batuk, asma dan sakit mata terutama di beberapa negeri yang dilanda jerebu terutama Melaka, Selangor, Negeri Sembilan dan Wilayah Persekutuan.

"Orang ramai dinasihatkan tidak terdedah dengan aktiviti luar sehingga memudaratkan kesihatan mereka dan mengambil langkah berjaga-jaga seperti memakai topeng muka," katanya.

Dalam perkembangan lain, beliau berkata kementeriannya dengan kerjasama Kementerian Pendidikan akan memperluas Program Doktor Muda di sekolah Orang Asli dalam usaha memberi kesedaran tantang isu penyakit dan kesihatan di negara ini dalam kalangan kaum tersebut.

"Kami akan mulakan analisis tingkah laku murid di sekolah berkenaan bagi merangka program yang bersesuaian kerana isu kesihatan di luar bandar mungkin berbeza dengan di bandar," katanya.

Beliau berkata setakat ini program tersebut melibatkan 89 sekolah menengah dan 2,474 sekolah rendah di negara ini dengan jumlah kira-kira 2 juta pelajar.

sumber


About Izikit

«
Next
Newer Post
»
Previous
Older Post

No comments:

Leave a Reply

Komen apa saja , cuma anda bertangggungjawab sepenuhnya atas komen anda sendiri .