» » Najib Razak tak kenal dan tak pernah jumpa pun Altantuya


Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak tidak pernah kenal, bertemu atau berkomunikasi dengan Altantuya Shaariibuu, kata Putrajaya dalam responsnya kepada sebuah dokumentari baru diterbitkan Al Jazeera berhubung pembunuhan wanita Mongolia itu pada 2006.

"Perdana menteri tidak tahu, tidak pernah bertemu, tidak pernah mempunyai sebarang komunikasi dan tiada kaitan sama sekali dengan si mati.

"Kedua-dua individu yang disabitkan bukan pengawal peribadi perdana menteri. Tuduhan itu sengaja bertujuan mengelirukan dan digunakan untuk mengekalkan teori konspirasi yang tidak berasas," kata seorang jurucakap kerajaan, merujuk kepada bekas anggota polis Sirul Azhar Umar dan Azilah Hadri.

Putrajaya berkata, sepanjang proses penyiasatan polis dalam kes pembunuhan itu serta perbicaraan mahkamah yang panjang, tiada bukti Najib melakukan sebarang kesalahan.

Ia berkata, ini kerana "keseluruhan dakwaan itu satu perbuatan memburuk-burukkan yang palsu, didorong keuntungan politik".

"Musuh-musuh politik dan sekutu media mereka cuba menyerang perdana menteri dalam isu ini selama bertahun-tahun."

Kerajaan berkata, Altantuya tidak pernah terlibat dalam pembelian kapal selam Scorpene berharga berbilion ringgit oleh Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM).

Pembelian itu menjadi perhatian beberapa tahun lalu kerana didakwa melibatkan bayaran komisyen €114 juta (RM500 juta) kepada Perimekar Sdn Bhd, anak syarikat KS Ombak Laut Sdn Bhd, yang mana isteri pembantu Najib, Abdul Razak Baginda, adalah pemegang saham utamanya.

Razak, kekasih Altantuya, dibebaskan daripada tuduhan bersubahat dalam kes pembunuhan itu.

"Pembelian ini dirundingkan secara langsung antara kerajaan Malaysia dan Perancis. Perimekar 40% dimiliki Lembaga Tabung Angkatan Tentera Malaysia (LTAT), sebuah badan berkanun kerajaan yang dihormati," kata jurucakap kerajaan itu.

"Perimekar dibayar oleh kerajaan Malaysia untuk mengendalikan semua logistik, latihan dan penyelarasan bagi pihak TLDM."

Ia berkata kontrak dengan Perimekar telus dan ia termasuk latihan yang diperlukan kapal selam dan juruteknik untuk mengendalikan kapal selam.

"Tentera laut tidak mempunyai tenaga kerja untuk mengendalikan perkara ini dalam tempoh 8 tahun pembinaan kapal selam dan penyelarasan logistik itu," kata Putrajaya.

Ia berkata, siasatan yang dikatakan dibuat Perancis ke atas perjanjian itu adalah berhubung kemungkinan syarikat Perancis ada membayar sogokan kepada pegawai Malaysia bagi mendapatkan kontrak kapal selam itu.

Hakim yang menyiasat tidak pernah menghubungi Najib berhubung perkara itu, kata Putrajaya.

Katanya, siasatan itu bukan sesuatu yang luar biasa kerana siasatan sama pernah dijalankan ke atas kontrak pertahanan Perancis dengan Taiwan dan India.

"Hakikatnya ialah, tidak ada sama sekali salah laku di pihak perdana menteri dalam pembelian kapal selam kerajaan itu. Tidak ada langsung bayaran yang diperoleh oleh beliau.

"Diulangi, ini adalah perbuatan memburuk-burukkan yang tidak berasas dibuat demi kepentingan politik," kata kerajaan.

Dalam video itu, Al Jazeera membangkitkan dakwaan Altantuya sepatutnya menerima bahagiannya dalam urus niaga kapal selam itu, yang diusahakan Razak.

Ia memetik kertas siasatan Perancis yang mendedahkan Altantuya berada di sebelah Razak ketika Perimekar memenuhi kontraknya dengan tentera laut sambil kapal selam itu dibina.

sumber


About Izikit

«
Next
Newer Post
»
Previous
Older Post

No comments:

Leave a Reply

Komen apa saja , cuma anda bertangggungjawab sepenuhnya atas komen anda sendiri .